Nelayan rayu kerajaan naik taraf jeti
PASIR PENAMBANG - Meskipun sudah usang dan tidak selamat, Jeti Melayu Bagan Sungai Yu, di sini masih menjadi tumpuan nelayan setempat menaikkan hasil udang dan hasil sungai.
Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, seramai 25 nelayan Melayu berpangkalan di jeti terbabit bagi mencari hasil udang dan ikan meskipun kawasan itu majoritinya didiami nelayan Cina.
Ketua pengkalannya, Arzzuri Ramli, 39, berkata, jeti yang dibangunkan sejak 2011 itu atas hasil gotong-royong penduduk khususnya Taman Bayu dan nelayan setempat.
Menurutnya, jeti kayu itu asalnya dibangunkan penduduk di Taman Bayu yang kebanyakkannya nelayan sambilan bagi memudahkan mereka turun ke laut untuk mencari hasil sungai dan laut.
"Dulu lokasi jeti ni hanyalah ban kosong yang kami bangunkan pondok kecil untuk port lepak dan rekreasi petang atau hujung minggu...penduduk taman selalu berkumpul di jeti ini untuk cari hasil sungai.
"Bagaimanapun kawasan ini banyak berubah dan membangun dengan pelbagai kedai makanan laut dan perusahaan pelancongan," katanya.
Arzzuri menjelaskan, pihaknya sebelum ini pernah memanjangkan permohonan untuk menaik taraf jeti kayu kepada binaan lebih kukuh demi keselamatan nelayan dan penduduk setempat.
"Dari zaman Adun BN, Datuk Sulaiman Abd Razak kami panjangkan permohonan dan dulu pernah lulus peruntukan tapi disebabkan pertukaran tampuk kerajaan, semuanya tak menjadi.
"Jadi, sekarang ni kami mohon kepada wakil rakyat PKR supaya dapat turun padang dan lihat sendiri keadaan jeti kayu ini yang sudah senget dan agak membahayakan kepada nelayan.
"Kalau boleh, bangunkanlah jeti ini supaya lebih selamat dan selesa...sebab banyak kali kami ajukan permohonan namun tiada perkembangan positif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!