‘Perubahan sokongan bukan penderhakaan kepada Agong’ - Muhammad Fathi
SHAH ALAM - Perubahan sokongan kepada Perdana Menteri bukan satu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Seri Paduka melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri sekiranya tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat melainkan atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Perlembagaan juga mengambil kira situasi seseorang Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti. Dalam mana-mana demokrasi berparlimen, amalan ini diterima sebagai satu bentuk hak demokratik dan tentunya ia bukan satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Peruntukan Perkara 43 (4) ini mengambil kira situasi seseorang Perdana Menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti untuk berundur. Walaupun halangan lompat parti diperkenalkan melalui pindaan yang memasukkan Perkara 49A, namun pindaan itu tidak membatalkan Perkara 43(4).
“Tambahan pula jika perubahan sokongan itu melibatkan keputusan sesebuah parti politik, bukannya individu wakil rakyat, maka, tidak timbul sama sekali soal lompat parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan kepada Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan negara menyiasat beberapa individu didakwa bertemu beberapa pemimpin negara bagi mengatur gerakan menggulingkan Kerajaan Perpaduan yang dikatakan sebagai mengkhianati Agong.
Menurut Muhammad Fathi, tidak dinafikan bahawa seboleh-bolehnya semua pihak mahukan kestabilan politik dan mengelakkan sebarang pergolakan boleh membantutkan tumpuan negara membangunkan ekonomi dan membela nasib rakyat.
Bagaimanapun ujarnya, hasrat itu tidak boleh menafikan hak demokratik dibenarkan Perlembagaan untuk membuat perubahan dalam tampuk pemerintahan negara.
Jelas beliau, ia kerana ada pihak berpendapat bahawa kerajaan sekarang mesti dikekalkan dan sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan kerajaan adalah satu bentuk penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perlu dikenakan hukuman keras.
Sementara itu, Muhammad Fathi berkata, pelaksanaan sistem penggal tetap hanya boleh dilaksanakan sekiranya Perkara 43 (4) dimansuhkan bagi memastikan sesebuah kerajaan dibentuk selepas pilihan raya dapat dikekalkan mandat rakyat selama lima tahun walaupun Perdana Menteri sudah lagi tidak mendapat kepercayaan majoriti.
“Hal ini kerana undang-undang sedia ada masih memperuntukkan Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri jika tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jika Perkara 43 (4) dipinda seseorang Perdana Menteri akan terus kekal berkuasa walaupun hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat sebaliknya Perlembagaan masih membenarkan perubahan tampuk kepimpinan negara melalui situasi seseorang Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.
“Kenapa tidak wujudkan sistem penggal tetap untuk seseorang Perdana Menteri supaya kerajaan lebih stabil dan teguh? Setiap sistem ada kebaikan dan keburukannya. Jika kita ingin menukar sistem sekarang kepada sistem penggal tetap, maka Perkara 43(4) perlu dimansuhkan melalui pindaan Perlembagaan.
“Jika dipinda seseorang Perdana Menteri akan terus kekal berkuasa walaupun hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!