Geng penjenayah aktif curi motosikal tumpas

Antara komponen motosikal serta barangan yang dirampas susulan tangkapan ke atas empat individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal pada Jumaat.
Antara komponen motosikal serta barangan yang dirampas susulan tangkapan ke atas empat individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Dua wanita antara empat individu diberkas pada Jumaat dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di Ampang, Serdang dan Sepang sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan dijalankan susulan pihaknya menerima laporan melibatkan kehilangan motosikal milik seorang individu, 26 Disember lalu di kawasan parkir Kampung Tasik Permai, dekat sini.

"Mangsa sebelum itu meletakkan motosikal jenis Yamaha Y125ZR di lokasi berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi sebelum mendapati motosikalnya itu tiada kira-kira jam 9.30 pagi.

"Mangsa sebelum itu cuba mencari motosikalnya di sekitar kawasan terbabit sebelum membuat laporan polis," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penangkapan empat individu di Jalan Bukit Kemuning, Batu Lapan pada Jumaat.

"Kesemua suspek diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Ampang Jaya itu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berumur antara 28 tahun hingga 49 tahun

"Kesemua suspek tidak bekerja itu diberkas setelah dipercayai terlibat dalam kecurian motosikal berkenaan," katanya.

Menurutnya, semakan dijalankan mendapati tiga daripada empat suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas empat buah motosikal, topi keledar, pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk mencuri, telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai komponen motosikal.

"Semakan terhadap motosikal yang dirampas dapati masih dilaporkan hilang di dalam negeri Selangor melibatkan daerah Ampang, Serdang dan Sepang," katanya.

Mohd Azam berkata, kumpulan terbabit dipercayai menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak tiga bulan lalu dan menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan terbuka.

"Kesemua suspek direman empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!