Penyokong harap KDA FC ‘sambar’ Syafiq Ahmad

Syafiq pernah dipinjamkan ke Kedah pada musim 2022 dan memberikan impak di barisan serangan. Foto KDA FC
Syafiq pernah dipinjamkan ke Kedah pada musim 2022 dan memberikan impak di barisan serangan. Foto KDA FC
A
A
A

PENYOKONG Kedah Darul Aman (KDA) FC mengharapkan pengurusan kelab tersebut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad selepas pemain itu antara yang akan dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pasukan lain bagi saingan Liga Malaysia 2024.

Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim berkata, khidmat penyerang berusia 28 tahun itu perlu dimanfaatkan oleh Sang Kenari kerana pemain itu dilihat memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, Syafiq yang juga antara bakat yang digilap dan dilahirkan oleh kelab ini pastinya bersedia untuk pulang ke Darul Aman jika khidmatnya berada dalam rancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

“Kami berharap pengurusan KDA FC akan bertindak cepat memastikan Syafiq tidak terlepas ke pasukan lain. Jika urusan meminjam sudah diuruskan, ia sebenarnya adalah berita baik buat semua penyokong Kedah.

"Penyokong sentiasa berharap Sang Kenari akan meningkatkan lagi kekuatannya bersama barisan pemain yang disusun pada musim depan selepas berjaya melengkapkan musim Liga Super 2023 ini pada tangga keempat," katanya yang mengakui bangga dengan pencapaian tersebut berbanding pencapaian tangga kelapan pada tahun 2022.

Zulkifli yang terkenal dengan kostum warna hijau kuning berserta imej bunga matahari ini berkata, KDA FC juga mampu menjadi platform buat Syafiq untuk kembali menyerlah sebagai penyerang tempatan yang mampu memperkuatkan jentera serangan Harimau Malaya.

Jelasnya, kelab penyokong itu percaya khidmat penyerang itu juga turut berada dalam radar pasukan lain bagi memperkuatkan barisan hadapan masing-masing.

“Ini peluang terbaik untuk Syafiq terus meningkatkan prestasi dirinya dalam kancah Liga Malaysia pada musim depan dan mampu melonjakkan kembali namanya seperti mana yang pernah beliau buktikan sebelum ini bersama Kedah,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Syafiq pernah dipinjamkan ke Kedah pada musim 2022 di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak namun beliau dipanggil untuk kembali ke pangkuan JDT semula pada pertengahan liga super.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!