Penduduk terus bantah bina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar

Antara peserta perhimpunan yang hadir bagi membantah pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar, pada Sabtu.
Antara peserta perhimpunan yang hadir bagi membantah pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar, pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kerajaan negeri digesa membatalkan perancangan membina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar yang hanya akan memberi kesan negatif kepada kehidupan masyarakat tempatan.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Bantahan yang juga Pengerusi Kariah Masjid Teluk Kumbar, Dr Muhammad Idris Salleh berkata, meskipun beberapa siri bantahan telah dibuat sebelum namun suara penduduk tempatan seolah tidak dipedulikan sehingga projek terbabit mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri.

Menurutnya, faktor sosial, keselamatan, kesihatan, peningkatan kadar jenayah yang sukar dikawal serta banyak lagi impak negatif akan berlaku sekiranya projek terbabit diteruskan.

"Kami telah menyatakan bantahan mengenai perancangan pembangunan projek ini sejak beberapa tahun lalu namun apa yang dikesalkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dimaklumkan kebenaran merancang telah diberi.

"Jurang perbezaan budaya yang terlalu luas membawa kesan negatif kepada masyarakat setempat, masalah menjadi lebih ketara apabila mereka dalam jumlah yang besar bercampur dengan masyarakat setempat malah selepas asrama itu siap dibina.

"Bayangkan jumlah pekerja asing yang akan ditempatkan di situ dianggarkan 32,000 orang hampir dua kali ganda penduduk Teluk Kumbar dan Sungai Batu," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan bantahan bersama lebih 1,000 penduduk Teluk Kumbar, di sini pada Sabtu.

Turut hadir dalam bantahan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah.

Muhammad Idris ketika berucap pada perhimpunan membantah pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.
Muhammad Idris ketika berucap pada perhimpunan membantah pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.

Artikel Berkaitan:

Dalam perhimpunan itu, Muhammad Idris turut menyampaikan resolusi yang dibuat oleh penduduk untuk disampaikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya campur tangan dalam perkara ini.

Sementara itu, Muhammad Idris berkata, kerajaan negeri sepatutnya menumpu pelaburan kepada industri maju terkini yang lebih menumpukan penggunaan kaedah digital sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat (IT) implementasi pengeluaran oleh robot dengan kawalan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, pelaburan dalam industri dengan menggunakan tenaga manusia adalah terlalu ketinggalan zaman dari segi kualiti yang mana industri di seluruh dunia telah menuju ke arah automasi.

"Jika kerajaan negeri tetap membawa pelaburan industri kuno berteraskan pekerja, asrama pekerja asing patut dibina di kawasan lain dan bukannya di sini," tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum memuktamadkan perancangan membina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, permohonan kebenaran merancang (PKM) yang dikemukakan pemaju Tetuan Chong pada 27 Jun lalu masih dalam pertimbangan, biarpun projek itu mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri.

Beliau berkata, penilaian terperinci merangkumi pelbagai aspek perlu dilakukan, termasuk reka bentuk dan susun atur sebelum kelulusan diberikan untuk memulakan pembinaan.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri 27 November lalu, Mooi Lye memaklumkan anggaran 32,680 pekerja asing akan ditempatkan di Teluk Kumbar berdasarkan kelulusan yang diperakukan Jawatankuasa Perancang Negeri.

Ia membabitkan pembinaan sebuah blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat, terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras satu, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua serta 512 unit asrama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!