SOP banjir JKNK jadi tanda aras persediaan fasiliti kesihatan - Dzulkefly
PASIR MAS - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) menghadapi banjir oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sebagai tanda aras persediaan fasiliti kesihatan menghadapi bencana alam itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, SOP itu akan dikembangkan sebagai satu amalan di negeri-negeri terkesan banjir seperti Terengganu, Johor dan Pahang.
Beliau berkata, JKNK telah menyediakan SOP mengambil kira keadaan sebelum, semasa dan pascabanjir dalam SOP itu.
"Saya dapati semasa banjir empat kumpulan telah dibentuk merangkumi pasukan kesihatan, perubatan, kesihatan mental dan promosi literasi kesihatan.
"Ia satu perkembangan yang baik kerana kita (KKM) dapati sebagai contoh di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pasir Mas mereka mempunyai keupayaan memantau secara masa nyata termasuk memiliki papan pemuka yang boleh digunakan untuk membuat jangkaan kawasan yang bakal terkesan banjir dengan teruk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial, Rantau Panjang pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin.
Dzulkefly berkata, keupayaan mengurus tadbir di PKD Pasir Mas dan JKNK dengan pendekatan yang agak baharu iaitu pengurusan digital sebelum, semasa dan pascabanjir yang dibuat secara masa nyata menjadikan persediaan menghadapi banjir di Kelantan lebih bersiap siaga.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, kes Covid-19 yang dilaporkan di PPS di Kelantan adalah terkawal.
"Sebanyak 15 kes Covid-19 telah dikesan di PPS di Kelantan khususnya di jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah dalam tiga siri gelombang banjir di Kelantan sejak November lepas.
"Mangsa Covid-19 di PPS di Kelantan berada dalam kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan gejala ringan, jumlahnya terkawal kerana kita ukur dengan bebanan unit rawatan rapi (ICU) dan katil semua sangat terkawal,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!