Malaysia, Thailand perlu sepakat majukan sektor pelancongan
SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Thailand digesa bekerjasama dalam usaha memajukan industri pelancongan memandangkan sektor berkenaan menunjukkan pertumbuhan positif bagi kedua-dua negara.
Aktivis pelancongan, Profesor Datuk Azlie Halim berkata, satu strategi atau perancangan promosi dan pemasaran yang berkesan perlu dilaksanakan segera sesuai dengan trend mega serta paradigma baru pembangunan ekonomi serantau.
“Idea atau program yang lebih kreatif seperti pakej pelancongan ‘Dua Negara Satu Destinasi’ boleh dilaksanakan bagi merangsang minat pelancong untuk berkunjung ke rantau ini.
“Phuket dan Langkawi boleh ‘dijual’ dalam satu pakej pelancongan yang sama sebagai usaha menarik minat pelancong khususnya dalam segmen pasaran produk eko pelancongan dan budaya.
“Ia akan menyatukan dua negara sebagai satu destinasi dengan produk yang sama dan mampu menarik pelancong serta akan memberikan impak positif dengan kos lebih efektif kepada sektor pelancongan Malaysia dan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Thaiand, Srettha Thavisin membuktikan kesungguhan kedua-dua negara untuk membangunkan industri berkenaan.
Bagi mencapai matlamat bersama ini, kedua-dua negara perlu menyasarkan untuk memanfaatkan potensi pelancongan secara bersepadu yang akan memacu kemakmuran utara Malaysia dan selatan Thailand tanpa mengabaikan soal keselamatan di sempadan negara.
Tambah Azlie, projek pembangunan infrastrukur serta kemudahan pelancongan wajar ditambah baik dengan segera agar tidak menjadi penghalang kepada kepesatan sektor pelancongan di wilayah tersebut.
"Begitu juga projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam dan Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang bagi memastikan kelancaran keluar masuk pelancong di sempadan negara serta menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah itu.
“Ia juga bagi memastikan imej dan prestasi pelancongan kita sentiasa ditahap terbaik, kita tidak boleh mengabaikan aspek perkhidmatan serta kemudahan pelancongan.
“Pengurusan keluar masuk pelancong di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam yang merupakan antara pintu masuk utama harus berada dalam keadaan terbaik dan diurus dengan cekap,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Azlie berkata, kerajaan perlu bersedia untuk bekerjasama dengan negara jiran yang lain seperti Indonesia dalam mewujudkan jalinan kerjasama pintar mempromosikan produk pelancongan.
Jelas beliau, inisiatif seperti Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) yang diperkenalkan sejak 1993 berjaya meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui perkembangan ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya di ASEAN.
“Peningkatan pelancong hujung minggu Malaysia ke Thailand melonjak daripada 10,000 kepada 30,000 menarik perhatian dan menjadi persoalan ramai mengapa destinasi pelancongan di selatan Thailand seperti Hatyai menjadi pilihan.
“Pada tahun ini sahaja Thailand menerima 27.25 juta pelancong dan pengunjung dari Malaysia menduduki senarai teratas iaitu seramai 4.4 juta setakat Disember.
“Dalam konteks pelancongan tiada soal siapa menang, siapa kalah tidak sepatutnya dipersoalkan lagi. Sudah pasti, daripada jumlah kunjungan sememangnya Thailand ‘menang’,” ujar Azlie.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu tidak sepatutnya melemahkan semangat Malaysia untuk terus mengalah, tetapi perlu jadikan ia sebagai ‘pelengkap’ kepada kemajuan industri pelancongan demi kepentingan bersama.
Tambah Azlie, Malaysia dan Thailand sememangnya kaya dengan pelbagai produk pelancongan yang bagus dan berpotensi untuk dibangunkan.
Justeru katanya, kedua-dua negara ini harus sepakat dalam memajukan industri pelancongan secara lebih agresif lagi yang akhirnya akan memberikan keuntungan bersama untuk jangka pendek dan panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!