MB dukung penuh titah Sultan Selangor

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Amirudin menerusi kenyataannya berkata, beliau mewakili segenap lapisan masyarakat dan rakyat negeri Selangor menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Selangor melalui titah terkini baginda sebagai respon balas kepada gesaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung keanggotaan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

"Sebagai seorang pengamal undang-undang berpengalaman, sewajarnya pandangan dan komentar seumpama itu tidak ada sebarang keperluan pun untuk dipertimbang malah tiada kepentingan untuk dilontar sebagai sebuah topik perbincangan di permulaannya.

"Kewenangan pengurusan agama Islam yang menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu, sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi yang memungkinkan penyelewengan tafsir berlaku sehingga mencetus keresahan yang tidak perlu," katanya dalam kenyataanya itu pada Sabtu.

Amirudin berkata, Ahli Parlimen Beruas sewajarnya selaku ahli politik berpengalaman, malah pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu melibatkan hal ehwal agama Islam, sementelah beberapa kali polemik yang berlegar pada skop yang sama dicetuskan beliau terdahulu.

"Malah ini sebetulnya membebani parti beliau yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan yang jelas dan tuntas meletakkan agama Islam di tahap tertinggi sebagai pembuktian komitmen Pakatan Harapan melalui kombinasi strategik bersama Barisan Nasional untuk menjadi perisai pertahanan agama Islam yang lebih baik berbanding mana-mana entiti terdahulu," katanya.

Ujar Amirudin, upaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam memperihalkan perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak dan cakna oleh setiap ahli politik khususnya ahli-ahli Parlimen.

"Seyogia titah Sultan Selangor hadir tepat masanya sekali gus perlu menjadi titik noktah kepada mana mana ahli politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!