Pejalan kaki dilanggar motosikal diminta tampil lapor polis
GOMBAK - Seorang penunggang motosikal cedera selepas terjatuh akibat terlanggar pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba di Lebuh Utama Sri Gombak dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 22 saat memaparkan kejadian itu pada Sabtu.
Beliau berkata, video dipercayai rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan itu memaparkan seorang pejalan kaki telah dilanggar oleh penunggang motosikal di lokasi kejadian.
"Kejadian berlaku jam 3.45 petang kelmarin membabitkan penunggang motosikal warga tempatan berusia 27 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Keramat, Kuala Lumpur ke Taman Seri Gombak.
"Setibanya di lokasi berkenaan, seorang wanita kemudiannya melintas secara tiba-tiba mengakibatkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar wanita terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, kejadian mengakibatkan kedua-dua mereka terjatuh.
"Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu, kaki dan tangan akibat kejadian," katanya.
Noor Ariffin meminta pejalan kaki dan pemilik rakaman kamera papan pemuka terbabit supaya tampil membuat laporan kerana setakat ini hanya dibuat oleh penunggang motosikal.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau saksi kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Rule 41 LN 167/59.
"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Suharman Che Musa di talian 0196751727.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 0361262222 atau tampil ke balai berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!