Tiada jalan automatik kembali perkasa skuad negara
PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan menutup terus pintu buat mana-mana atletnya yang telah selesai menjalani hukuman penggantungan akibat doping untuk kembali mewakili skuad kebangsaan.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya tidak akan sesekali mensia-siakan peluang terhadap bakat dan potensi dimiliki atlet berkenaan untuk kembali mengharumkan nama Malaysia.
“Ia sebenarnya bergantung kepada atlet itu sendiri. Ada atlet yang dikenakan hukuman penggantungan empat tahun dan dalam tempoh empat tahun itu sudah tentu dia tidak menyertai mana-mana pertandingan.
“Kemudian mungkin ada atlet berkenaan yang tidak berlatih atau menjaga badan mereka kerana tempoh empat tahun itu agak panjang.
“Jika dalam tempoh empat tahun itu mereka berlatih, jaga badan, fokus dan sedar kesilapan lalu, saya yakin mereka masih boleh diberikan peluang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Bagaimanapun, Ayub berkata, beberapa proses ‘saringan’ perlu dilakukan sebelum atlet tersebut kembali dibawa masuk ke kem angkat berat negara.
“Ingin saya tegaskan, bukan semudah yang disangka buat mereka yang terpalit isu doping untuk kembali mewakili skuad kebangsaan sekalipun ada antaranya prospek pingat.
“Sebelum ini ada juga atlet yang disabitkan dengan kesalahan doping memohon untuk kembali menyertai skuad kebangsaan tetapi kami (PABM) tidak melayan permintaan tersebut.
“Sebabnya, kami tidak mahu pandangan masyarakat yang mengatakan bila kami ambil semua atlet tersebut, tak mustahil isu doping ini akan kembali berulang.
“Jadi, kami mahu mengikis persepsi negatif seperti itu. Cerita mudahnya, tiada jalan automatik untuk kembali mewakili Malaysia, sebaliknya ada proses-proses yang mereka perlu lalui,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!