Kos belanja di Thailand lebih murah
SHAH ALAM - Perbelanjaan yang murah menjadi faktor utama rakyat Malaysia lebih ramai memilih untuk menghabiskan masa sama ada melancong atau membeli-belah di Thailand.
Rata-rata pengguna media sosial berpendapat selain mendapat keselesaan dan layanan kelas pertama, Thailand merupakan tempat percutian yang mempunyai pelbagai tarikan yang menarik.
Berdasarkan undian di X Sinar Harian dalam tempoh 24 jam bermula jam 9 malam Jumaat mendapati, 72 peratus daripada 274 undi berpendapat, Thailand merupakan tempat yang lebih murah untuk berbelanja.
Selain itu, sebanyak 14 peratus mengundi konsep percutian di Thailand lebih menarik manakala 11 peratus lagi mengatakan negara tersebut mempunyai lokasi percutian menarik.
Walau bagaimanapun, terdapat tiga peratus yang mengatakan lokasi lokal di negara itu tidak menarik.
Sementara itu, menerusi undian di Instagram Sinar Harian mendapati, 68 peratus daripada 899 undi berpendapat perbelanjaan ke Thailand lebih murah manakala 16 peratus pula mengatakan lokasi di negara itu lebih menarik.
13 peratus pula menyatakan konsep percutian lebih menarik dan tiga peratus mengundi lokasi lokal tidak menarik.
Menerusi ruangan komen di sosial media mendapati, rata-rata berpendapat selain kos perbelanjaan yang murah, Thailand juga antara destinasi yang berbaloi untuk diterokai.
Bagi pemilik akaun Zainal, selain murah, perkhidmatan hotel yang baik dan produk tempatan yang mempunyai banyak pilihan menyebabkan ramai rakyat Malaysia tertarik untuk melancong ke negara jiran.
“Makanan di sana murah memenuhi citarasa. Hotel baik dan memuaskan serta barangan yang dijual mempunyai banyak pilihan selain pakej berkumpulan yang murah,” katanya.
Menurut Ahmad Nazir Mohd Azmi pula, perbelanjaan yang murah menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk bercuti selama beberapa hari, selain faktor makanan dan produk yang ditawarkan jauh lebih banyak.
“Mereka memilih untuk tinggal dalam beberapa tempoh di sana kerana harga penginapan murah dan berpatutan. Perkara ini secara tidak langsung turut memberi kesan dan meningkatkan industri makanan serta minuman di sana,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemilik akaun Fawwaz berkata, melancong ke Thailand bukan sahaja sesuai dengan keadaan kewangan tetapi juga berbaloi untuk menghabiskan wang di negara tersebut berbanding dalam negara.
“Jika dibandingkan harga makanan laut di Langkawi dan Thailand ibarat langit dan bumi,” tulisnya.
Pada 24 Disember lalu, media melaporkan, promosi pelancongan di Malaysia yang begitu lemah terutama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir didapati menjadi faktor utama mengapa pelancong dari negara ini lebih memilih bercuti ke selatan Thailand.
Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Kamarun Ab Rahman berkata, sejak berakhirnya PKP, dilihat semakin ramai warga Malaysia melancong ke selatan Thailand khususnya wilayah Satun dan Hatyai.
Katanya, ini tidak dapat dinafikan kerana perangkaan menunjukkan hampir sejuta pelancong Malaysia memasuki Thailand pada akhir 2022 dan ia sebenarnya amat membimbangkan untuk industri pelancongan dalam negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!