114 asnaf berpeluang tunai umrah pertama kali

Sebahagian jemaah bersama penganjur program selepas selesai pelancaran program pada Sabtu.
Sebahagian jemaah bersama penganjur program selepas selesai pelancaran program pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Tiada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata oleh 114 asnaf apabila diberi peluang menunaikan ibadat umrah buat pertama kali melalui Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 hasil kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dan kerajaan Negeri Sembilan.

Kesemua mereka bakal berangkat ke tanah suci Makkah pada malam Ahad membabitkan 77 asnaf dari Negeri Sembilan, turut disertai tujuh asnaf Sabah, 15 asnaf Kelantan, 10 asnaf dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dua Melaka dan empat dari Rembau.

Seorang jemaah dari Jijan, Nilai, Abdul Manan Baharudin, 71, berkata, beliau bersyukur diberi kesempatan mengerjakan umrah walaupun pada mulanya ia bagaikan mimpi.

"Pasang niat memang lama tetapi tidak terfikir jadi kenyataan sebab dari segi kewangan saya memang tidak mampu.

"Saya dimaklumkan terpilih mengerjakan umrah dua minggu lepas pada hari Sabtu jam 2 petang, mulanya ingatkan scammer tetapi tiga hari kemudian mereka minta pergi ke Baitulmal Nilai untuk sesi penerangan dan mengesahkan, Alhamdulillah betul," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu pada Sabtu di sini.

Gambar dari kiri: Abdul Manan, Ida Riswana, Kalsom
Gambar dari kiri: Abdul Manan, Ida Riswana, Kalsom

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

Seorang lagi jemaah, Kalsom Md Ali, 61 turut senada dengan Abdul Manan sehingga tidak lena tidur memikirkannya kerana sebak dan teruja diizinkan menunaikan ibadat umrah.

Artikel Berkaitan:

"Hari Rabu mereka telefon lagi sekali minta saya siap untuk buat pasport, masa itu tidak boleh cakap, tidur pun tidak lena. Tidak sangka menjadi kenyataan, saya tetap akan selesaikan walaupun kaki saya tenjut sebelah kesan kemalangan," katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris, ia adalah program kali kelima seumpamanya yang bermula 2016 dan pada tahun 2018 serta 2019 Andalusia bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibawah program CSR NBOS.

"Lanjutan daripada program yang lepas Andalusia sekali lagi melaksanakan Asnaf 4.0 pada tahun 2023 dan buat pertama kalinya Andalusia berkerjasama dengan kerajaan Negeri Pahang sepenuhnya dan kini dengan kerajaan Negeri Sembilan pula melalui Asnaf 5.0.

"Sebenarnya ini adalah sebahagian daripada CSR Andalusia sebab kita rasakan bahawa dalam mencapai visi Andalusia untuk menyantuhi seramai mungkin umat Islam mengerjakan umrah ini kita tidak harus melupakan mereka yang sebenarnya nak mengerjakan umrah tetapi tidak berkemampuan.

"Program CSR ini matlamatnya, objektif utama supaya apabila mereka kembali dari tanah suci mereka boleh berkongsi kebaikkan segala pengalaman yang mereka boleh dapat dari tanah suci," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!