Cetus isu 3R, Koo Ham perlu kena tindakan - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya terhadap kenyataan dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kerana menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja meskipun permohonan maaf telah dibuat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan terhadap pemimpin DAP itu juga bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R hanya terpakai kepada Perikatan Nasional (PN) sahaja, namun disenyapkan sekiranya melibatkan Perikatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan DAP.

Menurutnya, tidak sepatutnya kenyataan sensitif dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat dan ia juga bukan kali pertama berlaku melibatkan individu sama kerana Koo Ham juga pernah menyentuh berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara dalam Parlimen tahun ini.

"Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu.

"Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan seperti ini yang seolah-olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih tegas untuk menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Cadangan Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu juga, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas mendukung penuh titah Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Justeru, beliau meminta umat Islam dan orang Melayu bersatu teguh mempertahankan hak serta memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!