Aston Villa himpit Liverpool di puncak
GOL lewat permainan hasil ledakan Douglas Luiz membantu Aston Villa menewaskan Burnley 3-2 yang beraksi 10 pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri lewat malam Sabtu.
Kemenangan tersebut melonjakkan skuad bimbingan Unai Emery ke tangga kedua EPL berkongsi 42 mata dengan Liverpool yang kurang satu perlawanan.
Ketika Villa seakan boleh melupakan kemenangan selepas tercicir mata berharga ketika terikat 1-1 dengan Sheffield United di laman sendiri, selepas melepaskan peluang dua jaringan di depan sebelum tumpas 2-3 kepada Manchester United.
Namun tuah memihak Villa apabila sepakan penalti Luiz pada minit ke-89 membolehkan mereka menghimpit Liverpool di puncak liga.
“Setiap orang terlalu gembira, kami perlu menikmati detik ini,” kata Luiz.
Dalam aksi itu, tuan rumah di depan menerusi Leon Bailey pada minit ke-28, namun dipadamkan oleh Zeki Amdouni buat Burnley tiga minit kemudian.
Villa kemudian kembali di depan menerusi Moussa Diaby sebelum rehat, malah mereka mempunyai kelebihan seorang pemain dalam tempoh 35 minit terakhir selepas Sander Berge dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua.
Memasuki babak kedua benteng Villa diperangkap oleh Lyle Foster yang menyumbat gol menewaskan penjaga gawang, Emiliano Martinez pada minit ke-71.
Bagaimanapun rezeki memihak Villa apabila Jhon Duran dijatuhkan dalam kawasan penalti dan Luiz merembat masuk gol kemenangan.
“Tiga aksi terakhir kami gagal bermain dengan baik. Ia sudah pertengahan musim, pemain sudah keletihan, kami hilang tiga atau empat pemain utama kerana cedera.
“Ia sukar, tetapi kami perlu meneruskannya,” ujar Luiz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!