Buku Prima bakal terbitkan karya peserta Konvensyen Penulisan Seram

Antara koleksi seram terbitan Buka Prima. Gambar kecil: Azzah - Foto Facebook Buku Prima
Antara koleksi seram terbitan Buka Prima. Gambar kecil: Azzah - Foto Facebook Buku Prima
A
A
A

SHAH ALAM - Peserta Konvensyen Penulisan Seram berpeluang menghantar karya untuk diterbitkan bersama Buku Prima.

Pengurus Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Azzah Abdul Rahman berkata, peserta mahupun penulis muda yang ingin menerbitkan karya boleh berbincang bersama editor sepanjang Festival Seram Buku Prima bermula 5 hingga 7 Januari 2024.

“Had penyertaan adalah 180 peserta dan mereka berpeluang untuk menghantar kertas cadangan ke Meja Manuskrip sepanjang konvensyen.

“Ia bertepatan dengan misi kami yang ingin mewujudkan komuniti pencipta konten seram mahupun thriller yang mematuhi garis panduan, selain penyampaian penulisan dan visual lebih kreatif berlandaskan hukum agama serta undang-undang.

“Kami juga akan mengumumkan projek buku seram terbaharu dan penyertaannya akan diutamakan kepada peserta konvensyen ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Festival Seram Buku Prima 2024 bakal berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, dekat sini, bermula 5 hingga 7 Januari depan dengan sasaran 1,000 pengunjung setiap hari.

Pelbagai pameran, reruai, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram disediakan kepada pengunjung.

Pengarah program, Anis Syamila Abdul Halim berkata, setakat ini seramai 100 individu sudah membuat pengesahan untuk menyertai Konvensyen Penulisan Seram yang akan diadakan pada 6 Januari 2024.

Artikel Berkaitan:

Azzah Abdul Rahman
Azzah Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Azzah berkata, selain mencari penulis muda, mereka turut menghimpunkan pencipta kandungan seram yang terdiri daripada penulis novel, penulis skrip, pencipta konten TikTok dan YouTube bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi sesuai dengan piawaian antarabangsa.

Jelasnya, terdapat sesi perkongsian bersama penulis dan juga karyawan produksi yang mampu memupuk minat penulis muda untuk menghasilkan karya lebih segar serta tidak klise.

Tambah beliau, konvensyen itu turut menampilkan penulis skrip drama Nenek Bongkok Tiga (Viu), Azhar Amirulhisyam; Penerbit Kreatif Astro Shaw, Alfie Palermo dan Pengurus Kanan Produksi Filem Media Prima, Ayu Amirrol.

“Buku Prima juga akan mengadakan Bengkel Penulisan Seram dan Thriller susulan daripada konvensyen ini.

“Kami turut menampilkan barisan penulis buku seram di Malaysia seperti, Ramlee Awang Murshid, Maria Kajiwa, Nadia Khan dan Arifful Baqi sempena Festival Seram Buku Prima nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!