KFA bantu urus pasukan pembangunan KDA FC
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) selaku badan induk bola sepak negeri sedang berbincang dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menguruskan salah satu pasukan pembangunan di bawah kelab tersebut bagi musim 2024.
Naib Presiden KFA, Muhammad Radhi Mat Din berkata, persatuan itu akan mengambil alih pasukan belia ataupun presiden dalam usaha untuk memberikan tumpuan kepada bakat muda sekali gus dapat membantu meringankan beban kewangan KDA FC.
Menurutnya, perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan dan beberapa perkara perlu diteliti oleh KFA dan KDA FC agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Malaysian Football League (MFL).
“Kita dapat maklumat KDA FC dalam proses untuk mengurangkan bajet dan hal ini turut dilakukan oleh pasukan-pasukan lain termasuk JDT. Pada musim hadapan mungkin ekonomi sedikit berbeza dan pasukan-pasukan di negeri lain turut membincangkan perkara sama.
“KFA juga harap selepas ini tidak akan timbul lagi isu tunggakan pembayaran gaji kerana perkara ini tidak bagus untuk suasana bola sepak di negeri ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Program New Year Kedah Half Marathon & Charity Ride 2024 di Stadium Darul Aman di sini.
Hadir sama, Presiden Aafiyat Holdings Sdn Bhd, Aidil Azwal Zainudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar.
Muhammad Radhi yang juga bekas pemain bola sepak Kedah dan kebangsaan berkata, KFA yang berusia hampir satu abad penubuhannya juga kini memberikan tumpuan kepada pembangunan di peringkat akar umbi termasuk penganjuran Piala MB Kedah.
Dalam perkembangan lain, Exco Sukan Negeri Kedah itu berkata, kerajaan negeri menggalakkan acara larian seperti Program New Year Kedah Half Marathon & Charity Ride 2024 kerana mampu memupuk budaya sihat dalam kalangan rakyat di negeri itu.
Menurutnya, program seperti itu juga mampu menjadi salah satu produk pelancongan untuk menarik kehadiran orang ramai ke Kedah.
Sementara itu, Aidil Azwal ketika ditemui pula berkata, hampir 1,500 peserta menyertai program kali kedua yang dianjurkan oleh Aafiyat Holdings Sdn Bhd dan program itu tidak hanya menampilkan larian santai, tetapi juga menggabungkan aktiviti amal jariah, persembahan zumba, serta pelbagai lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!