Kontraktor rugi lebih RM140,000 terpedaya pelaburan Bitcoin tak wujud

Wang simpanan seorang kontraktor berjumlah RM146,313.60 lesap dalam tempoh tiga hari akibat diperdaya sindikit pelaburan Bitcoin yang tidak wujud secara dalam talian. - Gambar hiasan
Wang simpanan seorang kontraktor berjumlah RM146,313.60 lesap dalam tempoh tiga hari akibat diperdaya sindikit pelaburan Bitcoin yang tidak wujud secara dalam talian. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Wang simpanan seorang kontraktor berjumlah RM146,313.60 lesap dalam tempoh tiga hari akibat diperdaya sindikit pelaburan Bitcoin yang tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ia bermula apabila lelaki berusia lingkungan 30-an itu menyertai skim pelaburan dikenali sebagai MIT Investment yang diklankan di Facebook pada 26 Disember lepas, menawarkan tiga pakej pelaburan Bitcoin dikenali sebagai 'basic', 'premium' serta 'gold'.

Beliau berkata, bagi pakej 'basic', modal yang diperlukan untuk membuat pelaburan bitcoin ialah RM300 dan pelabur kononnya akan mendapat pulangan pelaburan antara RM8,000 hingga RM12,000 dalam masa tiga jam.

Bagi pakej premium pula, modal yang diperlukan adalah RM1,000 dengan tawaran pulangan pelaburan antara RM18,000 hingga RM25,000 dalam tempoh enam jam, manakala bagi pakej 'gold' modalnya RM1,800 dengan pulangan antara RM30,000 hingga RM50,000.

Arshad berkata, ekoran terpedaya dengan tawaran lumayan, lelaki itu kemudiannya membuat 12 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun bank yang diberi suspek berjumlah RM146,313.60 dalam tempoh tiga hari bermula Rabu lepas.

Dalam kenyataan di sini pada Ahad, Arshad berkata, lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia dekat sini semalam, selepas menyedari ditipu apabila dia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada pelaburannya itu.

"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran skim pelaburan terlalu lumayan yang ditawarkan dalam talian, dan dinasihatkan segera menelefon Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 (apabila merasakan tertipu) agar wang yang dipindahkan ke akaun sindiket penipuan dapat disekat dengan pantas," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!