Johor Bahru lebih selamat dengan JBIOCC
JOHOR BAHRU - Bandar raya Johor Bahru bakal menjadi lebih ‘selamat’ dengan kewujudan Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC), yang beroperasi selama 24 jam bagi memantau keadaan di sekitar bandar raya itu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd Noorazam Osman berkata, JBIOCC juga akan menjadi command centre (pusat kawalan) yang pertama di Johor Bahru atau mungkin di Johor, yang menggunakan teknologi AI.
“Projek ini sebenarnya adalah hasil inisiatif bersama antara empat PBT (pihak berkuasa tempatan). Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merupakan PBT yang pertama siap untuk beroperasi pada 1.1 (1 Januari 2024), selaras dengan 30 tahun MBJB.
“Setakat ini kita dah pasang 108 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar raya JB yang ada 15 AI fixtures dengan integrasi sistem parkir yang menggunakan aplikasi MBJB.
“Selain itu, bila telah ada pusat kawalan JBIOCC ini, kita berhasrat untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mereka juga akan akses dengan CCTV kita dan meletakkan anggota mereka di sini untuk pantau sekiranya berlaku kes jenayah, kesesakan lalu lintas, kemalangan dan sebagainya yang memerlukan bukti-bukti kukuh,” katanya.
Mohd Noorazam berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan pra pelancaran Pusat Kawalan JBIOCC setelah mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di sini, pada Ahad.
Untuk rekod, JBIOCC akan beroperasi selama 24 jam sehari dengan bantuan beberapa kakitangan di pusat berkenaan.
Tambah Mohd Noorazam, pihak MBJB turut meletakkan lima lokasi butang panik (panic button) bagi tujuan keselamatan di tempat-tempat strategik di sekitar bandar raya.
Katanya, ia termasuk khidmat BMS Support System dan sistem I-Traffic yang mana kedua-dua sistem itu boleh dimuat turun oleh orang ramai.
“Sebagai contoh, panic button ini datang dengan kamera. Misalnya, bila ada orang berjoging atau berjalan-jalan di bandar, tiba-tiba kena serangan jantung.
“Dia boleh tekan panic button ini dan bercakap dengan kita di pusat kawalan JBIOCC dan mungkin boleh dapat bantuan awal di sekitar situ,” katanya.
Sementara itu, Mohd Noorazam berkata, pelancaran JBOICC merupakan pelancaran awal dan setelah kesemua empat PBT dalam Greater Johor Bahru seperti Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPK) melaksanakannya, pelancaran besar-besaran akan dilakukan oleh Menteri Besar.
“Setakat ini kita hanya ada 15 fixtures yang boleh kenal pasti kesesakan tiba-tiba, kereta berhenti di tempat tidak sepatutnya, kemalangan, orang jatuh motosikal, ada sekatan jalan raya, malah orang yang suka main tukar lorong tanpa berikan signal juga kita boleh kesan dan ambil tindakan selepas ini.
“Lagi satu, boleh bantu bendung kegiatan vandalisme di bandar kerana kita juga akan kongsi rakaman kepada pihak polis. Jadi bagi yang suka menconteng dinding, pintu, jangan terkejut kalau tiba-tiba polis dapat cari di depan rumah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!