JKNS keluar notis kesalahan merokok
SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) hari ini mengeluarkan notis kesalahan merokok di tempat makan dalam operasi khas penguatkuasaan di seluruh negeri.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali berkata, sebanyak 27 notis atau 64.3 peratus kesalahan direkodkan di bawah Peraturan 11(1)(d) iaitu merokok di tempat makanan, tujuh notis atau 16.7 peratus melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu tanggungjawab tuan punya atau penghuni premis untuk mempamerkan Tanda Larangan Merokok.
Menurutnya, lapan notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu tanggungjawab tuan punya atau penghuni premis memastikan bahawa tiada seorang pun merokok di dalam premis turut dikeluarkan kepada pengusaha yang gagal mematuhi arahan.
"Ada juga perokok yang diberi notis hadir di mahkamah," katanya.
Menurutnya, sehingga jam 2 petang sebanyak 379 premis makanan dilawati oleh 95 anggota penguat kuasa membabitkan tujuh di daerah negeri ini.
Katanya, penguatkuasaan hari ini masih diteruskan dan akan dilakukan secara berterusan.
"Orang ramai digesa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan tempat makan bebas asap rokok.
"Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh didakwa dan jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun," katanya.
Operasi penguatkuasaan dilakukan seawal jam 10.30 pagi yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (sektor kesihatan awam), Dr Mohammad Faid Abd Rashid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!