‘Jangan hukum saya hal yang saya tidak sebut’ - Anwar
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan sesetengah pihak menyalahtafsirkan pandangannya sehingga melibatkan cacian dan cemuhan itu sebagai keterlaluan serta tidak sepatutnya terjadi.
Anwar berkata, mesej yang disampaikannya melibatkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi itu sebenarnya menerapkan nilai keteguhan dan kekentalan iman kumpulan tersebut dari amalan syirik serta keburukan.
Menurut beliau, budaya wacana yang baik tidak sepatutnya diangkat dengan cerca kritikan melampau, khususnya apabila melibatkan konteks ayat al-Quran yang kini semakin meluas dibahas di media sosial.
“Jangan hukum saya (atas) hal yang saya tidak sebut, itu sahaja. Apa yang baiknya adalah, saya lihat kupasan menyeluruh, mungkin ratusan orang yang mengupas tetapi janganlah menyerang.
“Ada yang mengatakan jangan mengutuk ulama, itu betul. Sebab itu, saya tidak bersetuju kenyataan-kenyataan kesat atau memperlekeh sumbangan pendakwah ustaz-ustaz.
“Selain dari singgungan politiknya itu kita berhak mempertikai, tetapi beberapa kupasan ahli-ahli ustaz Pas ini, saya anggap keterlaluan. Tidak payahlah kita bergaduh dalam soal ini,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.
Terdahulu tular di media sosial seorang penceramah terkenal dari Terengganu mengupas ucapan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.
Dalam pada itu, ulas Anwar, ketika menyampaikan ucapan kepada penjawat awam, beliau turut menegaskan kepentingan nilai dan akhlak dalam menjalankan tugas, amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.
“Saya kaitkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi seperti dalam ayat al-Quran surah al-Kahfi di mana pada masa itu sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di sebuah gua.
“Mesejnya adalah keteguhan dan kekentalan iman pemuda itu yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan, justeru adalah wajar agar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut,” ujarnya.
@sinarharianonline Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan sesetengah pihak menyalahtafsirkan pandangannya sehingga melibatkan cacian dan cemuhan itu sebagai keterlaluan serta tidak sepatutnya terjadi. Anwar berkata, mesej yang disampaikannya melibatkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi itu sebenarnya menerapkan nilai keteguhan dan kekentalan iman kumpulan tersebut dari amalan syirik serta keburukan. #Fyp original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!