Amaran akhir tahun Kim Jong-un
SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menutup tahun 2023 dengan provokasi baharu berhubung serangan nuklear ke atas Seoul dan mengarahkan angkatan tentera bersiap siaga menghadapi peperangan di semenanjung itu.
“Kita mesti bertindak balas dengan segera terhadap kemungkinan krisis nuklear dan mempercepatkan persiapan dengan menggerakkan segala sumber termasuk kuasa nuklear jika keadaan terdesak,” kata Jong-un.
Korean Central News Agency (KCNA) pada Ahad melaporkan Jong-un turut mengecam Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu Korea Selatan menerusi ucapan 'berapi-api' pada penghujung mesyuarat pleno kesembilan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja yang berlangsung selama lima hari yang membincangkan keputusan dasar utama termasuk strategi ketenteraan untuk 2024.
“Washington sentiasa mencetuskan pelbagai ancaman ketenteraan. Kita perlu mengekalkan keupayaan tindak balas perang yang luar biasa. Peperangan boleh berlaku pada bila-bila masa kerana tindakan melulu musuh.
“Pyongyang tidak berhasrat untuk mencari perdamaian dan penyatuan semula dengan Seoul kerana situasi krisis yang tidak terkawal di semenanjung ini berpunca provokasi bersama sekutunya,” tegasnya lagi.
Kemarahan Korea Utara semakin meningkat selepas AS mengerahkan kapal selam berkuasa nuklear ke pelabuhan Busan di Seoul pada awal bulan lalu dan melancarkan pengebom jarak jauh miliknya ketika sesi latihan bersama Korea Selatan dan Jepun.
Sebelum ini, Pyongyang menyifatkan penempatan senjata strategik Washington seperti pengebom B-52 ketika latihan ketenteraan bersama di Semenanjung Korea sebagai 'langkah provokatif perang nuklear yang disengajakan'.
Sebagai usaha memperkukuhkan angkatan tentera, Korea Utara merancang untuk melancarkan tiga lagi satelit pengintip pada 2024.
Rancangan itu dibuat selepas kejayaan Pyongyang menempatkan sistem pemancar sama di orbit pada bulan lalu yang didakwa dapat mengintip lokasi ketenteraan utama AS dan Korea Selatan.
Hubungan antara Korea Utara dan AS semakin tegang selepas Seoul dan Washington meningkatkan kerjasama pertahanan pada 2023 susulan siri ujian senjata yang dilakukan Pyongyang. - AFP
Info:
> Pada 2023, Korea Utara berjaya melancarkan satelit peninjau dan mengekalkan status sebagai negara kuasa nuklear seperti termaktub dalam Perlembagaan.
>Pyongyang juga umumkan kejayaan ujian pelancaran misil balistik antara benua (ICBM) paling canggih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!