Warga emas patah tangan, enam jahitan jatuh langgar lubang

Mohd Razali dirawat di Hospital Gua Musang. Foto ihsan Mas Ummi Amira
Mohd Razali dirawat di Hospital Gua Musang. Foto ihsan Mas Ummi Amira
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas patah tangan dan menerima tiga jahitan di dahi dan lutut selepas motosikalnya terjatuh ke dalam lubang dalam kejadian di Jalan Pulai Lama, Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Mohd Razali Omar, 70, kini dirawat di Hospital Gua Musang sejak tengah hari Sabtu dan masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Menceritakan kejadian berkenaan, anak mangsa, Mas Ummi Amira, 33, berkata, sebelum itu bapanya dalam perjalanan pulang dari Hospital Gua Musang kira-kira jam 6.30 pagi selepas mendapatkan rawatan di hospital kerana sesak nafas.

Mas Ummi Amira memberitahu, bapanya yang tinggal berdua bersama ibunya di Kampung Batu Papan pergi ke hospital seorang diri kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak.

"Bagaimanapun, kami terus ke hospital itu selepas mendapat tahu ayah berada di sana dan selepas rawatan, dia mahu menunggang motosikalnya sendiri pulang ke rumah ditemani adik yang memandu kereta," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Mas Ummi Amira yang juga seorang peniaga, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar motosikal terjatuh ke dalam lubang jalan mengakibatkan bapanya tersembam dan rebah ke atas jalan.

"Adik terus bergegas turun dari kereta dan mengangkat ayah dibantu seorang pemandu lain yang kebetulan melalui jalan itu.

"Akibat kemalangan, ayah kini dirawat di hospital dan terdapat calar di bahagian muka selain kerap mengadu sakit dada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia juga mengakui terkilan kerana keadaan jalan berhadapan sebuah kuarters kesihatan itu sudah lama rosak tetapi tiada pembaikan sehingga mengakibatkan kecederaan bapanya.

Keadaan jalan sebelum dibaiki yang tular di media sosial.
Keadaan jalan sebelum dibaiki yang tular di media sosial.

Mas Ummi Amira memaklumkan, lubang jalan itu sudah dibaiki pada petang kejadian tetapi masih kurang memuaskan.

"Memang sedih kerana sebelum ini sudah berlaku banyak kemalangan dan tindakan membaikinya selepas ayah saya cedera teruk," katanya.

Wanita itu mendakwa jalan berkenaan rosak kerana menjadi laluan utama ke Kuala Lumpur berikutan lebuh raya sedang dinaik taraf.

Sebelum ini tular di media sosial seorang warga emas patah tangan selepas motosikalnya terjatuh ketika menghala ke Kampung Batu Papan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!