Air surut, penduduk di selatan Thailand ambil peluang cuci rumah

Penduduk membersihkan kesan lumpur di rumah mereka pada Ahad selepas banjir surut di Kampung Kumung, Chanae di Narathiwat, Selatan Thailand. - Foto Bernama
Penduduk membersihkan kesan lumpur di rumah mereka pada Ahad selepas banjir surut di Kampung Kumung, Chanae di Narathiwat, Selatan Thailand. - Foto Bernama
A
A
A

NARATHIWAT - Sayu dan luluh hati Chekkayah Cheknek apabila melangkah masuk ke dalam rumahnya yang dilanda banjir.

Dinding kediamannya kini diliputi lapisan lumpur, sisa sampah berserak di lantai dan perabot rosak selepas rumahnya dinaiki air selama beberapa hari.

Suri rumah berusia 45 tahun itu meninggalkan rumahnya di Kampung Kumung pada awal pagi 24 Disember selepas peningkatan paras air secara mendadak.

Beliau bersama-sama penduduk kampung yang lain kemudiannya selamat dipindahkan ke sebuah sekolah berhampiran.

"Kami berada di sekolah selama tiga hari. Kami bergantung sepenuhnya kepada air hujan.

"Walaupun air banjir surut pada Selasa, saya tidak dapat pulang ke rumah kerana jalan menuju ke rumah saya masih ditenggelami air.

"Selepas pulang ke rumah pada Sabtu, saya agak tertekan apabila mendapati rumah saya dipenuhi sisa dan lumpur, perabot rosak teruk. Sekarang, membersihkan rumah saya bukan tugas yang mudah, tugas itu lebih sukar disebabkan oleh lumpur tebal,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.

Lumpur tebal menyukarkan kerja-kerja membersihkan rumah. - Foto Bernama
Lumpur tebal menyukarkan kerja-kerja membersihkan rumah. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Hujan lebat mengakibatkan banjir di lima wilayah selatan - Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun sejak 22 Disember.

Apabila situasi banjir bertambah baik dan air banjir terus surut, wilayah yang terjejas kini berkurangan kepada tiga wilayah: Narathiwat, Yala, dan Pattani.

Bilangan isi rumah yang terjejas akibat banjir juga berkurangan kepada 12,469 berbanding 18,783 pada Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana (DDPM), Chaiwat Junthirapong berkata, sebanyak 10 daerah di tiga wilayah - Pattani, Narathiwat dan Yala - masih ditenggelami air.

Di Pattani, beliau berkata, terdapat 10,710 isi rumah di empat daerah terjejas akibat banjir, Narathiwat (1,653 isi rumah di empat daerah) dan Yala (106 isi rumah di dua daerah).

"Bagaimanapun, air banjir telah surut di semua kawasan,” menurutnya dalam satu kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!