'Port' santai lihat matahari terbenam di Puncak Birut
SUNGAI PETANI - Bersantai sambil menikmati pemandangan indah matahari terbenam di kawasan sawah padi dan ladang kelapa sawit yang terbentang luas antara tarikan terbaharu di Puncak Bukit Birut, Pinang Tunggal di sini.
Jika cuaca baik, pengunjung boleh melihat Menara Komtar di George Town, Pulau Pinang yang juga merupakan bangunan paling tinggi di Pulau Mutiara itu dari puncak bukit dengan ketinggian kira-kira 15 meter.
Selain persekitaran yang cantik dan cuaca sejuk di puncak, pengunjung pasti teruja dengan rekaan bentuk premis dan ukiran yang dihiasi lukisan tiga dimensi.
Pengurus The TL House, Muhammad Rasyiqi Roslan berkata, idea mewujudkan lokasi itu tercetus setelah hasrat keluarganya ingin menjadikan kawasan berkenaan sebagai chalet peribadi.
"Bagaimanapun, memikirkan kawasan ini agak luas dan boleh dimanfaatkan lebih ramai orang, maka tercetuslah The TL House," katanya.
Jelas usahawan muda itu, selain tumpuan untuk merakam gambar kenangan di pelbagai sudut menarik, pengunjung juga boleh menikmati hidangan di restoran disediakan.
"Bagi pengunjung yang mahu anjurkan majlis tertutup, sambutan ulang tahun dan perkahwinan lain dari yang lain dari atas puncak bukit, kita sediakan ruang untuk disewa.
"Perancangan akan datang mahu wujudkan aktiviti lasak ATV dan 'flying fox'. Ketika ini kemudahan yang telah ada ialah surau, tandas, ruang rehat dan restoran, dibuka bermula 1 petang hingga 11 malam setiap hari," katanya.
Terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama Pinang Tunggal, Kedah, pengguna perlu melalui laluan agak curam untuk sampai ke puncak.
Pengunjung tempatan, Uzair Osman, 60, dari Padang Serai berkata, lokasi yang tidak jauh dari rumah membolehkan dia berkunjung buat kali ketiga ke puncak berkenaan.
"Nak mai (datang) senang, dekat dengan rumah, nak mendaki (guna kenderaan) pun tak tinggi sangat, kali pertama saya 'ride' ke sini, kali kedua dan ketiga bawa keluarga, anak-anak pula," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Rohaya Ismail, 45, dari Sungai Petani mencadangkan kemudahan seperti kerusi atau pondok perlu diperbanyakkan bagi memberi peluang pengunjung duduk dan rehat terutama orang dewasa dan warga emas yang turut teruja untuk melihat pemandangan cantik di Puncak Birut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!