Cabaran Bunian Bikerz ke Phuket
SHAH ALAM - Melihat keunikan negara orang memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, apatah lagi jika berpeluang menunggang motosikal bersama rakan lain pastinya lebih menyeronokkan.
Seramai 11 ahli kelab Bunian Bikerz dari Meru, Klang, sanggup meredah perjalanan sejauh lebih 2,000 kilometer (km) ke Phuket, Thailand semata-mata untuk mencari pengalaman selain mengasah bakat tunggangan.
Idea berkenaan dicetuskan pengasas kelab berkenaan, Mohd Hasnurul Nizam Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Shah apabila gurauannya untuk menunggang motosikal ke negara jiran itu mendapat sokongan rakan lain.
Dibantu Nik Amirul Asraff atau lebih mesra dengan panggilan Pok Nik, sebanyak 11 pemilik motosikal berkuasa tinggi berpakat untuk menghabiskan cuti hujung minggu dan cuti umum Hari Krismas di negara Gajah Putih itu selama empat hari bermula 22 Disember lalu.
“Ini bukan konvoi pertama kerana pada tahun 2022 Bunian Bikerz pernah ‘menawan’ Phuket dengan menunggang kapcai,” katanya.
Menurut Shah, antara motosikal milik ahli kelab yang menyertai program itu terdiri daripada enam buah jentera Yamaha MT-09 dan masing-masing sebuah Yamaha MT-09 Tracer, BMW RT1250, BMW GSA1200 dan Kawasaki Versys 650.
“Konvoi bermula atau ‘tayar golek’ dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada jam 5 petang selepas semua mengisi tangki minyak motosikal masing-masing.
“Saya mengetuai konvoi bergerak bersama 10 penunggang termasuk tujuh daripadanya bersama pasangan masing-masing menempuh perjalanan sejauh 453 km ke sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Cuaca sepanjang perjalanan agak mencabar kerana hujan lebat serta jalan sesak dengan kenderaan. Selepas berhenti di beberapa lokasi untuk mengisi minyak dan ‘membetulkan urat’, akhirnya kami sampai ke pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada jam 11 malam,” katanya.
Shah berkata, prosedur untuk masuk ke Thailand juga mudah kerana semua dokumen lengkap dan mereka mengambil keputusan bermalam di Dannok, Thailand.
“Keesokan hari selepas bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke Phuket pada jam 9 pagi diketuai Yusof Noor atau Ucop yang menunggang BMW GSA1200,” katanya.
Sebelum bergerak lebih jauh, katanya, sebaiknya beli simkad Thailand untuk sambungan internet.
“Jarak perjalanan dari Dannok ke Phuket agak jauh iaitu sekitar 500km atau lebih kurang enam jam tidak termasuk berhenti mengisi minyak dan sebagainya.
“Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan menarik seperti di Satun, Hatyai dan Songkhla. Kami berhenti di Route 41 Cowboy Town Pathalung, lokasi yang sangat popular dalam kalangan bikers,” katanya.
Menurut Shah, sepanjang perjalanan, konvoi berhenti beberapa kali untuk mengisi minyak dan berehat.
“Bahan api di sana (Thailand) agak mahal sekitar 31.96 baht atau RM3.83 seliter.
“Tidak ada masalah menunggang motosikal ke Phuket kerana jalan rayanya tidak jauh beza dengan negara kita kecuali perlu lebih berwaspada dengan penunggang tempatan yang melintas jalan sesuka hati. Masuk negara orang, banyakkan mengalah daripada tunjuk hero,” katanya.
Cabaran utama ialah cuaca yang tidak menentu sepanjang perjalanan kerana hujan dan panas silih berganti di samping kerja-kerja membaiki jalan menyebabkan laluan menjadi sempit, sesak dan lecak.
Katanya, konvoi berpecah dua kerana penunggang berpasangan yang terdiri Pok Nik, Ucop, Izzat, Mie Racer, Rizz, Fairus berhenti di Krabi. Hanya Shahjidin tidak membawa pasangan.
“Kami berlima iaitu saya, Syahril (membonceng), Zalmi, Tun Nila dan Azmi meneruskan perjalanan ke Phuket. Laluan ke pusat peranginan itu agak sesak kerana ramai yang mahu menyambut Krismas.
“Sebelum masuk ke Phuket, kita akan melalui Surasin Bridge sebelum melintasi Phuket Gateway,” katanya.
Dia berkata, selepas enam jam melayan laluan dan selekoh, mereka akhirnya tiba di Phuket.
“Perjalanan tidak membosankan kerana kami menggunakan alat komunikasi yang membolehkan kami berinteraksi ketika menunggang motosikal.
“Kami menginap di Hotel Lamai. Hotel kecil tetapi selesa dan harga berbaloi. Sepanjang berada di sana, pelbagai aktiviti dilakukan antaranya bersiar-siar di Bangla Walking Street dan menikmati pemandangan indah di Pantai Patong.
“Walaupun beratus-ratus kilometer di atas jalan raya, kepenatan terubat dengan pemandangan laut yang menenangkan.
“Berdekatan hotel pula ada kedai menjual cenderamata, tempat massage, sewa motosikal, tut-tut dan sebagainya.
“Makanan tidak ada masalah kerana banyak restoran yang menyajikan makanan halal seperti Kalim Rim Lay Restoran yang terletak di tepi pantai. Kalau nak jimat bajet, boleh beli burger halal di 7-Eleven,” katanya.
Mereka bergerak pulang pada Isnin 25 Disember sekitar jam 9 pagi selepas bersarapan di Hawa Kitchen dan tiba di Dannok pada jam 4 petang.
“Perjalanan pulang lebih mencabar kerana kami terpaksa menempuh hujan lebat sepanjang perjalanan.
“Walaupun basah kuyup dan kesejukan, namun kami semua berasa puas dan seronok sepanjang aktiviti selama empat hari ini. Kami berehat semalam di Dannok.
“Keesokan 26 Disember jam 9 pagi, kami bergerak memasuki sempadan negara dan Alhamdulillah masing-masing selamat tiba di rumah masing-masing lebih kurang jam 4 petang.
“Meskipun badan letih, tapi bagi saya dan Bunian Bikerz yang menyertai konvoi kali ini, ia cukup memberi kepuasan dan semangat setiakawan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!