Jom saksikan pertandingan Teater Seram Pendek 5 Januari ini
SHAH ALAM - Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan pertandingan Teater Seram Pendek secara percuma di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 5 Januari bermula jam 10 pagi.
Penolong Pengurus Pemasaran, Grup Buku Karangkraf, Norhaslinda Izham berkata, tiada caj akan dikenakan dan pendaftaran dibuka kepada pengunjung seawal jam 8.30 pagi.
“Kami mengalu-alukan orang ramai terutama pelajar-pelajar di sekitar Lembah Klang untuk hadir bagi menyaksikan pertandingan teater secara langsung.
“Ini merupakan peluang yang sukar didapati di tempat lain, masuk adalah percuma. Ibu bapa juga boleh datang bawa anak-anak untuk turut merasai pengalaman seram menerusi persembahan itu,” katanya.
Pertandingan Teater Seram Pendek itu bersempena Festival Seram Buku Prima 2024 yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, di sini bermula 5 hingga 7 Januari depan.
Para pengunjung bakal disajikan dengan pameran, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.
Antara tarikan paling menarik di zon tersebut ialah bilik pengakuan dan soal siasat yang biasa dilakukan oleh polis.
Dalam pada itu, Norhaslinda berkata, peserta pertandingan Teater Seram Pendek terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Islam (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Profesional Mara Seri Iskandar dan Kolej Poly-Tech Mara Kampus Bangi.
Jelasnya, sebanyak tujuh kumpulan yang terdiri daripada empat ahli akan diadili oleh juri-juri profesional dan masa untuk setiap persembahan tidak melebihi 20 minit.
“Barisan juri yang akan menentukan siapa pemenang adalah Pengarang Eksekutif Lifestyle, Che Min selaku ketua juri; Alumni Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohamad Fahim Ali; Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Siti Rahayu Ahmad Azmi dan Pengarah Produksi Teater, Mohd Amirul Haswendy Ashari,” ujarnya.
Menurut Norhaslinda, pemenang bagi pertandingan tersebut akan dipilih mengikut kategori tempat pertama hingga ketiga dan akan ada hadiah bagi pelakon terbaik.
Katanya, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, RM700 (kedua) dan RM500 bagi tempat ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!