Peluang jadi kaya hanya bermodalkan air kosong
BARU sahaja reda isu pelancong ke Langkawi merosot, minggu lepas timbul pula kisah tular sebuah restoran di pulau peranginan itu mengenakan caj RM5 untuk segelas air kosong.
Perkara itu menerima kritikan rakyat Malaysia kerana sebelum ini pun ramai yang mendakwa harga makanan mahal antara punca orang tidak mahu melancong ke Langkawi. Walaupun ada penduduk dan peniaga di Langkawi yang menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan.
Apa pun, pemilik restoran di Pantai Chenang itu sudah tampil memberi penjelasan. Rupa-rupanya pekerja restoran tersilap key-in dalam sistem bayaran kerana terlalu ramai pelanggan.
Harga air kosong itu sebenarnya RM1 sahaja dan pemilik restoran sedia memulangkan semula wang kepada pelanggan terlibat.
Dalam kes ini, Merak Jalanan tertanya-tanya, adakah restoran itu bertaraf hotel lima bintang, sebab kalau harga segelas air kosong RM1 pun, ia masih mahal.
Kalau di bandar besar seperti Kuala Lumpur, kebanyakan restoran mengenakan caj 20 atau 30 sen. Ada juga kedai makan yang tidak mengenakan bayaran.
Ikut kiraan secara kasar, kos membuat air kosong pun berapa sen sangat.
Kalau dalam sehari ada 100 pelanggan pesan air kosong, sebulan boleh untung kasar RM3,000.
Walaupun nampak remeh, mungkin sudah sampai masanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat perkara ini.
Di saat kerajaan berusaha mengurangkan beban kos rakyat dengan menyediakan pelbagai inisiatif seperti menu rahmah, ada peniaga mengambil peluang menjadi kaya dengan bermodalkan air kosong.
Merak Jalanan juga terfikir, mengapa pelanggan tersebut tidak bertanya atau berbincang terus dengan pekerja di kaunter bayaran selepas melihat harga air kosong itu tidak munasabah.
Atau memang sengaja ada niat untuk tularkan di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!