Ganjar Pranowo, pemimpin ‘mesra rakyat’


Ganjar disenangi ramai kerana sikapnya yang merendah diri.
Ganjar disenangi ramai kerana sikapnya yang merendah diri.
A
A
A

SOSOK pemimpin milenial yang berambut putih dengan riak wajah penuh ekspresi ini sememangnya disenangi ramai.

Nama Ganjar Pranowo terus mencuri tumpuan selepas beliau kini tersenarai sebagai calon presiden (capres) pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 untuk bersaing dengan Anies Basdewan dan Prabowo Subianto.

Bekas Gabenor Jawa Tengah itu pernah meraih populariti menerusi tagline khas ‘Tuanku Ya Rakyat, Gabenor cuma mandat’.

Slogan itu menggambarkan semangat dan pendekatan unik digunakan Ganjar dalam kepimpinan untuk mendekatkan lagi dirinya dengan rakyat selain mewujudkan perkhidmatan awam lebih baik.

Ganjar juga lebih selesa memaparkan dirinya sebagai pemimpin yang ‘mesra rakyat’ dan bertanggungjawab demi untuk kesejahteraan semua.

Pada 21 April lalu, Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri akhirnya menamatkan spekulasi selama beberapa bulan selepas beliau mencalonkan Ganjar sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilpres 2024.

Acara itu dikoreografi dengan teliti dengan Megawati menyerahkan songkok hitam kepada Ganjar seperti yang pernah dipakai bapanya, bekas Presiden pertama, Soekarno.

Songkok hitam menjadi simbol gerakan nasionalis sekular di Indonesia seperti diperjuangkan oleh PDI-P.

Artikel Berkaitan:

Pada bulan lalu, Ganjar bersama pasangan regunya, calon naib presiden (cawapres), Mahfud MD secara rasmi mendapat nombor siri ketiga pada Pilpres 2024.

Pengundian nombor capres-cawapres itu dilakukan di pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) di Jakarta.


Bekas Gabenor Jawa Tengah ini bergandingan dengan Mahfud MD pada Pilpres 2024 Februari depan.
Bekas Gabenor Jawa Tengah ini bergandingan dengan Mahfud MD pada Pilpres 2024 Februari depan.

Beliau tetap optimis dan menganggap nombor tiga sebagai angka bertuah malah PDI-P juga mempunyai nombor siri ketiga pada Pemilihan Umum (Pemilu 2024) dan pernah digunakan pada Pemilu 2019.

Jokowi kedua?

Ganjar dikatakan banyak mempunyai persamaan seperti Presiden Joko Widodo atau Jokowi kerana kedua-duanya berasal daripada luar pertubuhan politik dan pernah menuntut di Universiti Gajah Mada di Yogyakarta.

Seperti Jokowi, beliau juga mempunyai rekod memberangsangkan dalam politik wilayah dan pernah berkhidmat untuk dua penggal sebagai Gabenor Jawa Tengah.

Prestasi Ganjar sebagai gabenor telah meningkatkan popularitinya dengan kebolehpilihannya meningkat kepada 35 peratus pada Februari lalu.

Karisma semula jadi dan sikap merendah diri beliau membolehkannya untuk meneruskan popularisme politik akar umbi Jokowi seperti melakukan kunjungan mengejut ke tempat awam dan mendengar keluh-kesah rakyat.

Pada usia 55 tahun, Ganjar bersikap terbuka untuk berhubung dengan pengundi muda dan berupaya menonjolkan dirinya di platform media sosial serta meraih pengikut yang ramai di TikTok, Instagram serta Twitter.

Rekod positif

Ganjar Pranowo (Ganjar Sungkowo) dilahirkan pada 28 Oktober 1968 di lereng Gunung Lawu di Karanganyar di Jawa Tengah dan merupakan anak kelima daripada enam beradik.

Beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang di Universiti Gajah Mada dan tamat pengajian pascasiswazah di Fakulti Sains Sosial dan Politik di Universiti Indonesia pada 2013.

Ganjar ketika merasmikan program ‘Satu Desa, Satu Puskesmas dan Satu Tenaga Kesehatan’ di Merauke, Papua pada akhir November lalu.
Ganjar ketika merasmikan program ‘Satu Desa, Satu Puskesmas dan Satu Tenaga Kesehatan’ di Merauke, Papua pada akhir November lalu.

Ganjar mula menunjukkan minat dalam bidang politik selepas beliau menyertai Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia (GMNI) pada awal 1990-an dan menjadi penyokong tegar Parti Demokrasi Indonesia (PDI) yang merupakan penentang terbesar pemerintahan Soeharto.

Pada 2013, beliau bertanding jawatan gabenor di Jawa Tengah dan mendahului keputusan undi dengan 48.8 peratus.

Beliau berjaya mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua pada 2018 selepas menewaskan bekas Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Sudirman Said dengan 58.78 peratus undi.

Ketika penggal pentadbirannya, Ganjar pernah memulakan program bagi meningkatkan kebajikan petani seperti memperkenalkan 'kartu tani', sebuah platform bantuan bukan tunai untuk membeli baja bersubsidi.

Sepanjang tempoh 10 dekad, beliau juga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di Jawa Tengah daripada 14.4 peratus pada 2013 kepada 10.9 peratus pada 2022.

Pada awal tahun lalu, Ganjar pernah dikritik kerana desakannya supaya melarang pasukan bola sepak remaja Israel daripada menyertai Piala Dunia Bawah 20 Tahun (U-20) hingga menyebabkan Indonesia digugurkan sebagai tuan rumah oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!