Sediakan rebat cukai tarik rakyat bercuti dalam negara
SHAH ALAM - Kerajaan disaran menyediakan rebat cukai kepada rakyat Malaysia untuk bercuti dalam negara bagi membantu menaikkan semula industri pelancongan domestik yang semakin suram akibat kekurangan pengunjung.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, rebat tersebut merupakan mekanisme terbaik bagi membantu melonjakkan kembali industri pelancongan, sekali gus memperkasakan semula ekonomi negara.
Menurutnya, mekanisme berkenaan akan mendorong orang ramai untuk memilih tempat pelancongan yang lebih murah dengan perkhidmatan terbaik.
“Kerajaan perlu menyediakan rebat cukai bernilai RM1,000 hingga RM2,000 kepada mana-mana rakyat Malaysia yang bercuti dalam negara, terutamanya golongan B40.
“Mereka yang bercuti ke Thailand bukan golongan M40 atau T20, sebaliknya B40 yang ramai ke sana kerana bersesuaian dengan keadaan kewangan masing-masing.
“Kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dan tidak boleh menghalang orang ramai ke Thailand untuk bercuti,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada 24 Disember lalu, media melaporkan, promosi pelancongan di Malaysia yang lemah terutama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir didapati menjadi faktor utama mengapa pelancong dari negara ini memilih bercuti ke Selatan Thailand.
Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Kamarun Ab Rahman berkata, semakin ramai warga Malaysia dilihat melancong ke Selatan Thailand khususnya wilayah Satun dan Hatyai.
Katanya, perkara tersebut tidak dapat dinafikan kerana perangkaan menunjukkan hampir sejuta pelancong Malaysia memasuki Thailand pada akhir 2022 dan amat membimbangkan industri pelancongan dalam negara.
Mengulas lanjut, Sri Ganesh berkata, selain pakej penginapan, faktor lain yang menyebabkan rakyat Malaysia suka melancong ke Thailand adalah kos makanan dan pengangkutan yang lebih murah.
Selain itu, beliau berkata, produk yang ditawarkan oleh negara jiran itu juga lebih menarik sehingga rakyat Malaysia sama ada di dalam mahupun luar bandar berminat untuk bercuti ke Thailand.
“Mereka menawarkan makanan, penginapan dan perkhidmatan bertaraf lima bintang. Malah, produk yang ditawarkan juga berpatutan dengan harga termasuk layanan diberikan cukup baik.
“Apabila keadaan ini berlaku ia sedikit sukar untuk industri pelancongan kita bersaing dengan mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!