Semoga 2024 lebih baik untuk Malaysia

Rakyat Malaysia amat berharapkan agar tahun ini memberi seribu satu kegembiraan dan kejayaan kepada negara.
Rakyat Malaysia amat berharapkan agar tahun ini memberi seribu satu kegembiraan dan kejayaan kepada negara.
A
A
A

HARI ini kita sudah memasuki tahun baharu 2024. Sudah pasti rakyat Malaysia amat berharapkan agar tahun ini memberi seribu satu kegembiraan dan kejayaan kepada negara.

Jika diimbas kembali sepanjang tahun 2023, memang banyak cabaran melanda negara.

Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa-peristiwa pahit dan kontroversi berulang lagi pada tahun ini. Biarlah ia sekadar tercatat dalam sejarah.

Kos sara hidup merupakan isu yang paling menjadi tumpuan pada tahun 2023.

Masalah harga barangan semakin naik menjadi cabaran bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada kerajaan yang dalam masa sama perlu melakukan penjimatan.

Langkah awal kerajaan melaksanakan insiatif Menu Rahmah pada Januari 2023, walaupun nampak kecil tetapi memberi impak.

Ia kemudian disusuli pelbagai pakej di bawah Payung Rahmah, antaranya menu makanan, bakul makanan, rawatan serta jualan murah.

Dalam usaha penjimatan pula, kerajaan mengambil tindakan berani menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa 1 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia bagi membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.

Walaupun pada mulanya keputusan kerajaan menamatkan subsidi itu mendapat kritikan kerana dikhuatiri akan melonjakkan harga ayam, namun selepas dua bulan, harganya masih terkawal.

Itu antara usaha yang dilakukan kerajaan pada tahun lepas. Banyak lagi yang dilakukan menjurus kepada matlamat mengurangkan kos hidup rakyat.

Namun persoalannya, apakah lagi usaha kerajaan pada tahun 2024 dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup yang terus meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan isu ekonomi termasuk pelaburan luar dan dalam negeri akan menjadi tumpuan sepenuhnya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2024.

Apabila ekonomi negara semakin baik, secara tidak langsung akan memberi kesan baik kepada ekonomi rakyat.

Kita berharap agar perancangan kerajaan untuk tahun 2024 seperti penyasaran semula subsidi bersasar, projek perintis dasar gaji progresif, menaikkan elaun pelajar tajaan kerajaan, subsidi tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak serta lain-lain akan berjalan lancar, seterusnya membantu rakyat mendepani tahun 2024 yang semakin mencabar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!