Dua beranak hulur bantuan percuma kepada pengguna jalan raya Timur Barat

Mohd Amir dan anaknya sudah biasa mengendalikan lebih 20 kerja menyelamat antaranya melibatkan kemalangan, tayar pancit dan pokok tumbang di sepanjang laluan. - Facebook Mohd Amir Faizal
Mohd Amir dan anaknya sudah biasa mengendalikan lebih 20 kerja menyelamat antaranya melibatkan kemalangan, tayar pancit dan pokok tumbang di sepanjang laluan. - Facebook Mohd Amir Faizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah menjadi kebiasaan bagi dua beranak, Mohd Amir Faizal, 45, dan Muhammad Adam,14, dari Sungai Petani, Kedah meluangkan masa lapang mereka untuk menghulur bantuan dan melakukan kerja menyelamat secara percuma kepada pengguna Jalan Raya Timur Barat.

Walaupun agak pelik, namun dua beranak itu telah menjadikan kerja sukarela itu sebagai hobi sejak dua tahun lepas dan setakat ini telah mengendalikan lebih 20 kerja menyelamat antaranya melibatkan kemalangan, tayar pancit dan pokok tumbang di sepanjang laluan yang menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak itu.

Lazimnya, mereka berdua akan bertolak ke Jalan Raya Timur Barat dari kediaman mereka di Bandar Seri Astana, Sungai Petani kira-kira jam 9 pagi dan akan tiba di Batu Melintang, Jeli pada sekitar jam 1 tengah hari sebelum berpatah balik ke rumah dengan jarak keseluruhan perjalanan 400 kilometer.

Mohd Amir akan memandu kereta Proton Exora yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti gergaji rantai, kit kecemasan, pemadam api dan jumper bagi membantu sesiapa sahaja yang tiba-tiba memerlukan bantuan di sepanjang Jalan Raya Timur Barat ketika terserempak dengan mereka.

Berkongsi aktiviti itu kepada Bernama baru-baru ini, Mohd Amir berkata, dia sudah terlibat dan berpengalaman dengan kerja menyelamat sejak 10 tahun lepas apabila menjadi sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, pada peringkat awal, kerja menyelamat secara sukarela hanya tertumpu kepada penduduk bandar Sungai Petani, namun khidmatnya itu kini ditawarkannya di mana sahaja destinasi ditujunya, terutama di Jalan Raya Timur Barat, setakat yang mampu.

"Apabila ada masa terluang, saya akan memilih memandu bersama anak di Jalan Raya Timur Barat sejak dari akhir 2021 lagi, dan sekiranya terjumpa mana-mana pengguna jalan yang memerlukan bantuan, insya-Allah kami akan bantu.

"Pada masa sama, jalan raya ini juga bagi saya adalah satu bentuk terapi kepada diri saya kerana dapat melihat kehijauan flora yang dapat menenangkan serta berpeluang melihat kehidupan liar seperti gajah di depan mata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Amir yang juga seorang peniaga menjelaskan pada musim cuti seperti sekarang, lebih ramai pengguna menggunakan Jalan Raya Timur Barat sekali gus risiko berlakunya kecemasan amat tinggi kerana permukaan jalan teruk berlubang selain kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang akibat hujan.

"Ada ketika kebetulan rondaan saya di Jalan Raya Timur Barat menemukan empat buah kereta yang tayarnya pancit akibat jalan berlubang, ada juga yang saya bantu potong dan bersihkan kawasan laluan yang pokoknya tumbang menutup laluan,” katanya dan menambah usaha itu akan diteruskan selagi dikurniakan kesihatan yang baik.

Sementara itu seorang pengguna tegar Jalan Raya Timur Barat, Ahmad Fauzi Azizan mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya mewujudkan hentian bagi skuad menyelamat di laluan itu supaya tugas bantuan dan menyelamat dapat diberikan lebih pantas sekiranya berlaku kemalangan.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memandang serius cadangan berkenaan kerana laluan itu adalah satu-satunya jalan terdekat menghubung penduduk utara Semenanjung seperti Kedah dan Perlis untuk ke Pantai Timur dan jumlah kenderaan yang menggunakan jalan tersebut bertambah saban tahun.

"Jika berlaku apa-apa di sekitar puncak laluan itu, bantuan terdekat seperti dari Bandar Jeli dan Gerik yang nak sampai agak lambat lebih dari 45 minit malah ia pula bergantung kepada keadaan trafik dan juga cuaca.

"Jadi, mewujudkan hentian bagi skuad menyelamat penting, mungkin boleh beroperasi pada waktu-waktu tertentu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!