Aksi menari di hangar PGU sudah lama, premis bukan lagi milik PDRM
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video tular beberapa individu menari sambil mendengar muzik di sebuah hangar dengan tulisan PDRM adalah program Rock The World 2023.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, program tersebut dianjurkan pada 16 Disember lalu.
Beliau berkata, premis yang dijadikan lokasi program itu adalah pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kuala Lumpur yang sudah ditutup.
"Jam 3.30 petang semalam (Ahad), pihak polis mengesan satu klip video berdurasi 16 saat dimuat naik di aplikasi Twitter memaparkan beberapa individu menari sambil mendengar muzik.
"Polis ada menerima pemakluman berhubung penganjuran itu dan lesen dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, premis tersebut sudah lama ditinggalkan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berhubung video tular berkenaan.
"Sebarang pertanyaan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 0322979222 atau pergi ke mana-mana balai berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!