JPJ Kedah tumpu lokasi panas menerusi operasi topi keledar

JPJ akan bekerjasama dengan jabatan serta agensi lain dalam menangani sikap penunggang motosikal. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
JPJ akan bekerjasama dengan jabatan serta agensi lain dalam menangani sikap penunggang motosikal. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah kembali memberi fokus di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti di daerah Kuala Muda, Kulim dan Kota Setar menerusi operasi pemakaian topi keledar bermula bulan ini.

Pengarahnya, Aman Shah Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan serta agensi lain dalam menangani sikap penunggang motosikal yang dilihat semakin tidak menitikberatkan aspek keselamatan terutama melibatkan kepala.

Beliau berkata, menurut statistik JPJ, sebanyak 1,753 notis saman kesalahan tidak memakai topi keledar dan memakai topi keledar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan telah dikeluarkan, iaitu meningkat berbanding 676 notis tahun lepas.

"Fokus tahun depan (2024) ialah Kuala Muda, Kota Setar dan Kulim, tapi majoritinya hotspot (lokasi panas) adalah di Kuala Muda dan kita akan berkolaborasi dengan polis trafik, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

"Pemakaian topi keledar bukan sebab undang-undang mewajibkan memakainya, tapi lebih penting kesedaran dan kefahaman memakai topi keledar dapat melindungi keselamatan bahagian kepala agar tidak menjadi lebih parah.

"Data dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pemakaian topi keledar yang betul dan selamat boleh mengurangkan risiko kecederaan kepala hingga 70 peratus dan mengurangkan risiko kematian hingga 40 peratus,” katanya.

Aman Shah berkata demikian pada program pertukaran topi keledar secara percuma bersempena dengan Ambang Kedah Sejahtera 2024 di Tasik Darul Aman di sini malam tadi.

Beliau berkata sebanyak 684 topi keledar telah diagihkan kepada orang ramai yang terdiri daripada 504 topi keledar dewasa dan 180 topi keledar kanak-kanak.

Menurut Aman Shah, tidak memakai topi keledar atau menggunakan topi keledar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan adalah antara tujuh kesalahan utama JPJ dan boleh dikompaun hingga RM300 mengikut Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

Artikel Berkaitan:

"Memanglah kemalangan jalan raya banyak juga faktor, tapi kita kena elakkan memakai topi keledar yang mungkin berbentuk menarik dan murah, tetapi tidak menjamin keselamatan pemakainya berbanding pemakaian topi keledar yang dibenarkan yang diluluskan SIRIM,” katanya.

Sementara itu, katanya statistik notis saman yang rekodkan di Kedah dengan pelbagai kesalahan pada 2023 meningkat sebanyak 49.02 peratus, iaitu 135,962 notis berbanding 91,237 notis yang dikeluarkan pada tahun sebelumnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!