Pasangan rancang kahwin tahun ini dicekup berkhalwat
SUNGAI PETANI - Sepasang kekasih yang dicekup di sebuah bilik hotel di Gurun, Kedah dalam Op Ambang Tahun Baru 2024 mendakwa sudah bertunang dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.
Pasangan berusia 35 tahun itu dicekup ketika pegawai penguat kuasa agama membuat serbuan pada jam 11.59 tengah malam Ahad.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah membuktikan ikatan mahram atau suami isteri.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, kedua-duanya mengaku sudah bertunang setahun lalu dan merancang bernikah setelah kewangan mencukupi sebelum Ramadan nanti.
"Lelaki terbabit dikatakan bekerja di sebuah pelantar minyak di Sarawak, sedang bercuti, manakala pasangannya seorang penjawat awam bertugas di Sik, Kedah," katanya.
Kesemua sembilan pasangan dicekup berkhalwat sekitar daerah ini sempena Op Ambang Tahun Baharu yang bermula kira-kira jam 11 malam.
Operasi dilakukan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dibantu beberapa pasukan penguat kuasa agama dari daerah lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu membabitkan lokasi panas yang telah dikenal pasti.
Kesemua yang dicekup dibawa ke IPD Kuala Muda untuk laporan tangkapan dan tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!