Wanita agih teh panas percuma kepada petugas banjir
JAKARTA - Beberapa kawasan di Jakarta hari ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam mengakibatkan kemudahan pengangkutan awam seperti komuter dan kereta api terjejas kerana landasan ditenggelami air sehingga lebih 1 meter.
Memetik Twitter BBC Indonesia, petugas Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) dilihat bertungkus-lumus membantu mangsa banjir dan ditempatkan di lokasi selamat termasuk petugas Penanganan Sarana dan Prasarana Umum (PPSU) membersihkan kawasan longkang bagi melancarkan aliran air.
Melihat anggota BNPB dan PPSU terpaksa mengharungi hujan demi menyelamatkan mangsa dan melaksanakan tugas, seorang penduduk dilihat mengagihkan minuman teh panas kepada mereka.
Menerusi lensa BBC, kejadian itu berlaku di Meruya, Jakarta Barat hari ini.
"Banjir terdedah kepada kesejukan kerana cuaca dingin tapi kebaikan dilakukan oleh wanita ini memberi 'kehangatan' luar biasa," ciapnya.
Video berdurasi 1 minit yang tular di laman sosial mendedahkan kawasan Meruya dilanda banjir dan Siti Sarah mengambil inisiatif membuat air teh panas untuk diberikan kepada petugas keselamatan termasuk penduduk kampung.
"Kesian melihat mereka sejuk, bantuan makanan dan minuman belum tiba, jadi saya buatkan mereka air teh panas.
"100 gelas diagihkan dan habis dalam tempoh dua jam sahaja," katanya kepada BBC.
Menyifatkan tindakan dan pertolongan itu cukup murni, netizen mendoakan agar wanita tersebut dimurahkan rezeki.
@whutagain berkata, "Ini adalah orang kaya sebenar. Semoga sihat selalu dan murah rezeki buat anda dan temannya yang membantu."
Kata @ijkepoo, "Masya-ALLAH, semoga kebaikan ibu dibalas dengan yang lebih lagi oleh ALLAH."
Menurut twitter rasmi Traffic Management Center (TMC) Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), kawasan yang dilanda banjir adalah di Jakarta Selatan, Jakarta Pusat dan Jakarta Timur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!