1,000 sertai Majlis Qiamullail Tahun Baharu
PUTRAJAYA - Hampir 1,000 umat Islam menyertai Majlis Qiamullail Tahun Baharu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini bersempena dengan sambutan ambang Tahun Baharu 2024 dan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Acara yang merupakan sebahagian daripada program Ambang Gema Syukur anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan.
Majlis qiamullail berjemaah kira-kira jam 4.30 pagi itu dimulakan dengan solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat hajat yang dipimpin imam jemputan, Ustaz Wan Ammar Hadi.
Program diteruskan dengan solat subuh berjemaah yang dipimpin oleh Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nabil Mirza.
Pengisian acara seterusnya menampilkan seorang aktivis Palestin, AbdelRahman Ibrahim bersama Pengasas dan Penasihat Utama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) Dr Hizul Azri dalam slot Ceramah Subuh 4 GAZA.
Mohd Na'im ketika ditemui selepas majlis itu berkata, aktiviti kerohanian dan keagamaan yang telah disusun pihak Jakim sebagai alternatif kepada masyarakat Islam di negara ini yang menjadi kelaziman menyambut tahun baharu Masihi, dapat menarik kehadiran lebih 800 anak muda pada program berkenaan.
"Program pengisian ini kebanyakannya dihadiri anak-anak muda terutama daripada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan.
"Bagi tahun ini, saya berharap pihak masjid dapat menjalinkan lebih banyak kolaborasi bersama badan-badan bukan kerajaan untuk menganjurkan program yang dapat menarik minat anak muda kerana masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadat, tetapi juga tempat berkumpul pelbagai lapisan umur," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) mengadakan pelbagai program untuk golongan belia tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!