Badang Kedah sasar tiga emas pada Sukma 2024
PERSATUAN Angkat Berat Kedah (PABK) menyasarkan untuk menyumbangkan sebanyak tiga pingat emas kepada Kontinjen Kedah pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Presiden baharu PABK, Yahaya Sani berkata, seramai 16 atlet angkat berat negeri ini akan menyertai kejohanan yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos di Sarawak.
Menurutnya, lapan atlet lelaki dan lapan atlet perempuan telah dikenal pasti untuk mengalas tanggungjawab tersebut dan persiapan rapi telah dilakukan untuk membantu kontinjen Kedah mencapai sasaran berkenaan.
“Persatuan ini tidak sehebat persatuan sukan lain tapi kita akan melahirkan atlet-atlet angkat berat yang mewalili Kedah bukan sahaja di Sukma tapi juga di peringkat antarabangsa seperti Komanwel.
“Pada Sukma 2024 pula, kita sasar untuk menyumbangkan tiga pingat emas kepada kontinjen Kedah.
"Kita akan sasar pada kategori 64 kilogram dan dua lagi kategori akan dilihat kembali,” katanya pada sidang akhbar pada petang Ahad.
Beliau berkata demikian selepas diumumkan sebagai Presiden baharu PABK pada Mesyuarat Agung 2024-2026 mengantikan Ismasuhaimi Shariff di Menara Alor Setar, di sini.
Yahaya yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Sukma negeri Kedah pada 2018 berkata lagi, PABK mahu terus mengcungkil bakat-bakat baharu angkat berat di seluruh negeri Kedah bagi melahirkan lebih ramai bakat buat negara seperti Aznil Bidin yang meraih dua pingat emas di Sukan Komanwel 2022.
Menurutnya, kejayaan terbaru atlet angkat berat Kedah iaitu Nur Syazwani Radzi menghadiahkan pingat gangsa itu dalam kategori 64 kilogram (kg) wanita di Sukan Sea 2023 membuktikan negeri ini mempunyai ramai atlet berbakat dalam sukan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan antara sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 adalah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran.
Selain itu, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis juga dipertandingkan.
Hannah berkata, temasya edisi ke-21 itu akan dilangsungkan di lapan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh negeri kecuali acara basikal trek diadakan di Semenanjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!