Polis Kelantan keluarkan 453 saman Op Ambang Tahun Baharu 2024

Shuhaimi memeriksa lesen penunggang motosikal pada Operasi Ambang Tahun Baharu di sekitar Kota Bharu malam tadi. - Foto Bernama
Shuhaimi memeriksa lesen penunggang motosikal pada Operasi Ambang Tahun Baharu di sekitar Kota Bharu malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan 453 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Khas Ambang Tahun Baharu 2024, yang dijalankan semalam di seluruh negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintenden Shuhaimi Jusoh berkata, kesalahan itu dikesan hasil sekatan jalan raya (SJR) yang turut dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di 17 lokasi bermula jam 10 malam hingga 3 pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak 2,138 kenderaan melibatkan motosikal, kereta, lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kenderaan pacuan empat roda (4x4) telah diperiksa dalam tempoh operasi itu.

Anggota JPJ mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal yang melanggar undang-undang pada Operasi Ambang Tahun Baharu di sekitar Kota Bharu malam tadi. - Foto Bernama
Anggota JPJ mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal yang melanggar undang-undang pada Operasi Ambang Tahun Baharu di sekitar Kota Bharu malam tadi. - Foto Bernama

"Sebanyak 190 saman telah dikeluarkan ke atas pemilik kereta, motosikal (213), lori (28), MPV (20) dan 4X4 (dua).

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tidak pamer pelekat ‘P’, nombor plat tidak ikut spesifikasi, kesalahan ubah suai ekzos dan tiada insurans kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Shuhaimi berkata, dalam operasi itu, JPJ turut mengeluarkan 306 saman melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu (CDL) dan lesen vokasional (GDL) dan kesalahan cermin sisi.

Sementara itu, Shuhaimi berkata, sebanyak 16 warga asing telah ditahan semasa pemeriksaan ke atas lima buah bas di SJR di Gua Musang.

Artikel Berkaitan:

Shuhaimi melakukan pemeriksaan kenderaan pada Operasi Ambang Tahun Baharu di sekitar Kota Bharu malam tadi. - Foto Bernama
Shuhaimi melakukan pemeriksaan kenderaan pada Operasi Ambang Tahun Baharu di sekitar Kota Bharu malam tadi. - Foto Bernama

"Pemeriksaan menemukan 16 warga asing terdiri daripada seorang lelaki India, Bangladesh (enam lelaki), Indonesia (dua lelaki), Pakistan (seorang lelaki) dan Myanmar (lima lelaki dan seorang wanita).

"11 daripada mereka memiliki pasport namun telah tamat tempoh, manakala lima lagi didapati tidak mempunyai sebarang dokumen. Kesemua telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!