12 bayi tahun baharu lahir di HTA
KUALA LUMPUR - Seramai 12 bayi tahun baharu dilahirkan di Hospital Tunku Azizah (HTA) sehingga jam 7 pagi pada Isnin.
Pengarah Hospital HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata, jumlah itu merangkumi tujuh bayi lelaki dan lima bayi perempuan, yang mana dilahirkan antara jam 12.01 tengah malam hingga 7 pagi di hospital berkenaan.
"Tiga bayi yang kita tunjuk pada hari ini adalah antara yang paling awal lahir.
"Paling awal adalah pada jam 12.12 tengah malam. Kemudian ada yang lahir pada jam 1 pagi dan 2 pagi," katanya ketika sidang media Majlis Sambutan Bayi Tahun Baharu HTA pada Isnin.
Tiga ibu yang paling awal bersalin pada tahun baharu itu adalah Vivinah Chinniah, 33, pada jam 12.12 tengah malam, diikuti Putri Nila Rahmah Abu Zanar, 31, pada jam 1 pagi dan Norashikin Mohd Nor, 39, (jam 2.02 pagi).
Ujar beliau, menurut statistik HTA, purata kelahiran dalam tempoh satu hari adalah sekitar dalam 30 hingga 50 bayi.
"Jadi dalam setahun itu, kita ada dalam 12,000 sehingga 13,000 kelahiran bayi di HTA," ujarnya.
Dalam pada itu, ulas Dr Shamsul, ibu bapa kepada bayi yang lahir pada tahun baharu itu turut menerima sumbangan sempena majlis tersebut.
"Antara sumbangan yang diterima adalah seperti hamper, barangan bayi, kerusi keselamatan kanak-kanak dan pelbagai lagi hadiah untuk bayi yang baru lahir," menurutnya.
Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kuala Lumpur, Muhd Mustafar Ghazandar dan Timbalan Pengarah Perubatan 3 Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Syafik Ismail Azman.
13 bayi tahun baru lahir di hospital seluruh Pahang
KUANTAN - Seramai 13 bayi tahun baru dilahirkan di seluruh hospital di Pahang bermula jam 12 tengah malam sehingga 9 pagi pada Isnin.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, lima kelahiran adalah bayi perempuan manakala lapan bayi lelaki.
"Sembilan bayi dilahirkan secara normal dan empat melalui kaedah pembedahan.
"Lapan merupakan bayi Melayu, dua warganegara asing, seorang Orang Asli dan selebihnya lain-lain bangsa. Semua bayi dilaporkan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Nor Azimi memaklumkan, bayi pertama dilahirkan di Hospital Raub pada jam 12.42 pagi.
Katanya, bayi perempuan yang seberat 3.25 kilogram itu dilahirkan melalui kaedah bersalin secara normal.
Tambah beliau, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu seramai lima bayi diikuti Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, merekodkan empat kelahiran.
"Hospital Kuala Lipis dengan tiga kelahiran manakala Hospital Raub mencatatkan satu kelahiran sehingga pagi ini," katanya yang mengucapkan tahniah kepada ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!