Tular kemudahan di Terminal Sentral Kuantan kurang memuaskan
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kemudahan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) dalam keadaan kurang memuaskan tular di media sosial pada Isnin.
Facebook Pahang Darul Makmur mendedahkan keadaan eskalator rosak yang menyukarkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk naik dari platform ke tingkat atas.
Selain itu, turut didedahkan keadaan tandas yang didakwa rosak di bahagian paip dan cat pada lantai turut mengelupas serta semua cermin di platform TSK kotor.
Menurut kenyataan itu, kemudahan tidak terurus dan gagal diselia dengan baik memberikan imej buruk kepada pengunjung yang datang ke Kuantan.
Dalam pada itu Pengurus TSK, Khairul Amilin Abdul Halil berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap aduan dan rungutan daripada pengguna berhubung kemudahan di terminal terbabit.
Menurutnya, kerja-kerja menambah baik sentiasa dilaksanakan namun masalah membabitkan penyelenggaraan adalah sesuatu yang di luar jangka.
"Kami terima semua aduan bagi memastikan pengguna selesa menggunakan semua kemudahan di terminal ini.
"Jika ada pengguna tidak berpuas hati mereka boleh membuat aduan dengan menghantar mesej di Facebook rasmi TSK," katanya pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai aduan melalui media sosial itu, Khairul Amilin menjelaskan laluan eskalator ditutup buat sementara waktu bagi proses pembaikan handrail.
Katanya, penutupan itu perlu dibuat kerana keadaan handrail sangat kritikal dan membahayakan pengguna.
"Kami mohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Namun kondisi handrail yang crack (retak) menyebabkan kami terpaksa menutup laluan eskalator atas faktor keselamatan pengguna.
"Jika kami jalankan (buka laluan) eskalator dalam keadaan (rosak) begitu, kami dianggap telah melanggar peraturan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pahang," ujarnya.
Bagi kemudahan tandas pula, beliau berkata, lantai tandas yang dicat dengan epoxy untuk menjadikan lantai lebih nampak kemas.
Jelasnya, namun setelah empat tahun, cat mengelupas dan meninggalkan kesan yang merencatkan mata.
"Jadi untuk itu, kami sedang mengkaji untuk menggunakan kaedah lain selain epoxy," jelasnya yang menempatkan pasukan pembersihan bagi membersihkan tandas dengan kadar lebih kerap.
Khairul Amilin menambah, cermin platform di bangunan terminal tersebut telah cuci sebelum musim cuti dan perayaan Krismas.
Jelasnya, namun kemungkinan disebabkan cuaca yang hujan dan lembab menyebabkan cermin terbabit mudah dinaikkan kulat serta habuk lebih jelas ada di cermin.
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Maklum jika gagal selesai masalah kemudahan awam di TSK - Chon Siang
KUANTAN - Pihak pengurusan Terminal Sentral Kuantan (TSK) perlu memaklumkan kepada Kerajaan Pahang sekiranya gagal menyelesaikan masalah kemudahan awam di terminal terbabit.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, ini bagi membolehkan kerajaan membantu pihak TSK dalam usaha memberikan kemudahan terbaik kepada pengguna.
"Kita tahu terminal ini pernah dilanda banjir 10 tahun lalu, kalau ada perkara yang tidak boleh selesai perlu beri tahu kepada kerajaan dan kita akan fikir macam mana hendak bantu.
"Tapi jangan diam sampai aduan demi aduan (dibuat boleh pengguna) dan kita tidak mahu tengok (mendengar) aduan begitu banyak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemantauan di TSK susulan penularan hantaran dan beberapa keping gambar di laman Facebook pada pagi Isnin.
Facebook Pahang Darul Makmur mendedahkan kemudahan awam di terminal terbabit kurang memudahkan apabila keadaan eskalator rosak yang menyukarkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk naik dari platform ke tingkat atas.
Selain itu, turut didedahkan keadaan tandas yang didakwa rosak di bahagian paip dan cat pada lantai turut mengelupas serta semua cermin di platform TSK kotor.
Mengulas lanjut dakwaan itu, Chon Siang berkata, keadaannya seperti mana tular di laman sosial berkenaan.
Jelasnya, bagaimanapun, pihak pengurusan TSK diberi masa hingga hujung bulan ini bagi melakukan kerja baik pulih kemudahan asas yang bermasalah di situ.
Namun, katanya tempoh bagi kerja baik pulih itu tidak membabitkan pengoperasian semula eskalator yang memerlukan alat ganti dari luar negara.
"Perkara itu sudah dimaklumkan kepada wakil TSK selepas saya melakukan tinjauan di terminal itu hari ini.
"Sebelum ini saya ada terima aduan berkaitan masalah di TSK, cuma kali ini saya datang untuk tengok sendiri," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau juga meminta agar pengguna menjaga kemudahan awam dengan sebaiknya.
"Tolong sama-sama aga kebersihan dan jaga imej Kuantan dan Pahang," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!