Mangsa banjir serbu karpet murah

Nik Zuraini (kiri) memilih alas kaki yang dilelong di sebuah kedai karpet di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.
Nik Zuraini (kiri) memilih alas kaki yang dilelong di sebuah kedai karpet di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Mangsa banjir di beberapa kampung di daerah ini mengambil peluang cuaca cerah untuk membeli barangan keperluan rumah termasuk karpet, cadar dan sarung bantal.

Tinjauan Sinar Harian di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang mendapati banyak gedung karpet di sepanjang jalan itu mengadakan jualan murah terutama barangan yang ditenggelami air.

Harga murah yang ditawarkan memberi peluang kepada mangsa banjir untuk menggantikan barangan keperluan rumah itu yang sudah rosak.

Surirumah, Nik Zuraini Nik Soh, 42, dari Kampung Tasik Gua Guchil tidak kisah membeli cadar yang basah tetapi masih berada dalam plastik kerana boleh dicuci dan dijemur semula.

Nik Zuraini memerlukan beberapa set cadar dan sarung bantal kerana barang-barang itu rosak teruk selepas air naik dengan cepat akibat hujan lebat pada 25 Disember lalu.

Berkongsi kejadian itu, Nik Zuraini berkata, sebaik sahaja air banjir mencecah masuk ke dalam rumah, dia bertindak menyelamatkan kenderaan tetapi tidak sempat mengemas rumah.

Noriah (kanan) memilih karpet yang dijual di sebuah kedai karpet di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.
Noriah (kanan) memilih karpet yang dijual di sebuah kedai karpet di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

"Apabila pulang semula ke rumah, semua barang sudah terapung dan saya bersama ahli keluarga mengambil keputusan terus keluar dari kawasan kediaman kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, air naik hampir dua meter kira-kira jam 9 pagi dan banyak barang rosak serta tidak dapat diselamatkan.

"Jualan lelong memang berbaloi untuk kami di sini kerana banyak barang penting perlu diganti termasuk bantal, cadar, karpet dan sarung bantal," katanya.

Nik Zuraini juga mengakui belum mengemas rumah sepenuhnya kerana memikirkan mengalami banyak kerugian selepas banjir termasuk kerosakan teruk almari dan telefon bimbitnya.

"Air juga belum surut sepenuhnya dan mungkin mengambil masa seminggu bergantung pada keadaan cuaca," katanya.

Penduduk dari Kampung Gual Bunut Rantau, Siti Normah Arifin, 51, juga mahu membeli barangan rumah termasuk karpet kerana rosak selepas ditenggelami banjir pada 25 Disember lalu.

Kata Siti Normah, ruang tamu rumahnya ditenggelami air hampir satu meter.

"Sebagai suri rumah saya perlu mencari peluang dan membeli ketika jualan murah bagi mengurangkan kos perbelanjaan terutama ketika diuji dengan banjir," katanya.

Ibu kepada lima anak berusia 15 hingga 29 tahun itu juga terpaksa berpindah ke musala berdekatan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, penduduk dari Kampung Danga Pasir Mas, Noriah Pak Adik, 43, turut mengambil peluang membeli karpet murah di sepanjang Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang walaupun rumahnya tidak dilanda banjir.

Noriah yang mempunyai koleksi karpet pelbagai corak sentiasa menukarnya pada waktu tertentu untuk tetamu yang datang ke rumah.

"Saya tetap mengambil peluang membeli karpet kerana harganya lebih murah. Setiap tahun saya pasti membeli keperluan rumah ini sebagai koleksi," katanya.

Peniaga karpet dikenali sebagai Naseer, 50-an berkata, banyak karpet, sarung bantal, cadar dan sejadah dijual pada harga murah berikutan ditenggelami air.

Menurutnya, banyak karpet di kedai itu dijual pada harga di bawah RM50 manakala ada cadar dan sarung bantal pada harga antara RM5 hingga RM10.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!