Banjir: 1,122 mangsa berlindung di 13 PPS di 3 negeri setakat tengah hari
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus mencatatkan penurunan kepada 1,122 orang di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini, berbanding 1,483 orang di 15 PPS pagi tadi.
Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,034 orang yang berada di sembilan PPS.
Menurut laporan itu, PPS di Kelantan merangkumi enam di Tumpat yang menempatkan 744 orang, dua di Pasir Mas (274) dan satu di Kuala Krai (16).
Di Pahang, bilangan mangsa banjir kekal 34 orang yang berlindung di dua PPS di Maran, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal berada di sebuah PPS.
Jumlah mangsa banjir di Johor pula tidak berubah dengan 54 orang masih berada di dua PPS di Segamat setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai berada pada paras bahaya meliputi Sungai Pulai di Johor Bahru, Johor yang merekodkan 4.76 meter (m) dengan trend meningkat, Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan (9.33m dengan trend menurun) dan Sungai Arau di Arau, Perlis (23.74m dengan trend menurun).
Laporan itu juga menyatakan terdapat 27 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya termasuk Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik, Hulu Perak di Perak; dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!