Langkah Dubai: Jangan kemaruk tumbang kerajaan - Puteri UMNO
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan, jika situasi itu terus berlaku rakyat akan menjadi mangsa di sebalik sikap tidak bertanggungjawab tersebut.
"Politik negara menjadi tidak stabil sejak tahun 2018 lagi. Kesannya, rakyat sudah muak dengan politik kerana ia tidak stabil.
"Bagi saya, tidak kira apa langkah pun, eloklah tumpu kepada soal menjaga rakyat," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai 'Langkah Dubai'.
Terdahulu, beliau bermandi peluh bergotong-royong bersama sukarelawanan Puteri UMNO membersihkan rumah penduduk yang rosak dihempap tanah runtuh di Kampung Dalam Reka, di sini pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, 'Langkah Dubai' dirancang bagi menggulingkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Nurul Amal, rakyat perlu matang dan membuat penilaian terhadap kumpulan yang 'kemaruk' kepada kuasa dengan mengabaikan soal kebajikan penduduk.
Ujarnya, golongan seperti itu perlu ditolak pada pilihan raya akan datang.
Dalam perkembangan lain, Nurul Amal berkata, seramai 300 sukarelawan Puteri UMNO akan digerakkan ke Kelantan dan Terengganu bagi membantu penduduk yang terjejas di kedua-dua negeri ini akibat banjir.
Beliau memberitahu, selain kerja-kerja membersihkan rumah, Puteri UMNO turut menyerahkan sumbangan bantuan kepada penduduk terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!