Negara terus bergelut atasi isu 3R - Mujahid
SHAH ALAM - Negara akan terus bergelut untuk mengatasi isu 3R (agama, bangsa dan institusi Diraja) di pentas politik yang masih tinggi permintaannya sekiranya tidak ditangani sewajarnya.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, oleh itu tahun 2024 perlu dijadikan peluang bagi semua pihak tekadkan azam memerangi pencetus 3R.
Menurutnya, isu 3R jelas memberi impak negatif kepada asas kesatuan negara ini dan perlu diberi perhatian.
"Generasi muda perlu diimbangkan pendedahan kepada toksik 3R ini dengan membudayakan ilmu yang sahih dan amalan berfikir yang rasional lagi bersifat Rahmah.
"Untuk itu perjuangan politik Rahmah perlu diteruskan dan Madani perlu diakarumbikan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, 2024 juga adalah peluang menstabilkan politik dengan pendekatan pemulihan.
Katanya, rakyat perlu menolak politik toksik menggugat kestabilan melalui aktor politik yang terdesak mahukan kuasa dengan cara yang jijik lagi memualkan.
"Hentikan bersama amalan membeli kuasa dengan taburan duit dan habuan jawatan melalui rakyat menolak pemimpin dan parti yang 'sakit' ini.
"Hentikan toksik fitnah dalam mengejar cita-cita politik, gunakanlah politik beradab dan bukan memberi alasan adat berpolitik," katanya.
Sehubungan itu beliau mengajak semua pihak meraikan tahun baharu dengan penuh optimisme.
"Negara memerlukan kepimpinan yang pandai mengharungi ketidaktentuan dan tajam penglihatannya menembusi di sebalik keceramukan ini.
"Nabi suka kepada optimisme dan melarang sikap pesimisme," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!