478 individu terbabit lumba haram dicekup
ALOR SETAR - Seramai 478 individu ditahan oleh polis dalam operasi lumba haram ambang Tahun Baharu 2024 di bandar raya Alor Setar, di sini pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pada awalnya kumpulan motosikal tersebut mahu melarikan diri namun gagal apabila kesemua laluan keluar dikepung dan ditutup sepenuhnya oleh anggota polis.
Menurutnya, operasi Op Samseng Jalanan di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas pada jam 3.40 pagi itu telah disertai seramai 60 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
“Intipan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Setar sejak jam 1 pagi dan keadaan di jalan sesak apabila lebih 400 penunggang dan pembonceng menyaksikan aktiviti lumba haram.
"Sebelum itu mereka berjaya mengesan pergerakan sekumpulan besar kumpulan bermotosikal memasuki pusat bandar raya ini dan aktif melakukan aksi menunggang secara berbahaya dengan menjadikan lokasi sebagai tempat perlumbaan.
"Sehubungan itu, pasukan operasi kemudian menyusun atur strategi di beberapa lokasi di sekitar persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, sebelum kepungan secara serentak dilakukan tepat jam 3.40 pagi,” katanya pada Isnin.
Ahmad Shukri berkata, sebanyak 430 buah motosikal ditahan untuk tujuan pemeriksaan dan 340 keping saman Pol 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas.
Jelasnya, antara kesalahan terbabit termasuklah tiada lesen memandu, kesalahan mengubah suai kenderaan manakala 70 buah lagi dikenakan tindakan sita.
"Operasi turut disertai Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) yang menjalankan pemeriksaan teliti terhadap nombor enjin dan chasis kenderaan bagi mengesan sekiranya terdapat mana mana kenderaan yang dipercayai terbabit dengan sebarang jenayah," ujarnya lagi.
Tambahnya, seramai 30 orang telah diarah menjalani ujian saringan air awal kencing dan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke BSJN IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata Ahmad Shukri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!