Hamdan Senario ditidurkan, anak mohon doa orang ramai
PELAWAK yang juga anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 54, disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah dan kini ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Menurut anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, 21, disebabkan jangkitan kuman yang tinggi keadaan bapanya tidak stabil, selain mengalami masalah paru-paru berair dan jantung lemah.
"Pada awalnya ayah mengalami cirit-birit pada sebelah malam dan kami sangka dia keracunan makanan kerana kami baru sahaja pulang dari makan malam bersama keluarga Senario. Disebabkan keadaan berlarutan sehingga pagi, jadi kami terus bawa dia ke hospital.
"Pada awalnya tekanan darah dan keadaannya normal, tetapi selepas empat jam berada di sana, ayah mula mengalami kesukaran bernafas.
"Kebetulan keputusan ujian darahnya dah keluar, jadi dari zon hijau, ayah terus ditolak ke zon merah.
"Doktor maklumkan bacaan kuman ayah sangat tinggi iaitu 32. Kalau bacaan normal sepatutnya bawah 10," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Natasya, bapanya pada mula enggan ditidurkan dan meminta untuk dibawa pulang ke Ipoh.
Bagaimanapun katanya, doktor tidak membenarkan untuk berbuat demikian kerana risiko yang tinggi.
"Ayah kalau boleh nak bersama kumpulan Senario di acara Wonderful Night with Senariounion.
"Dia memang teruja nak jumpa peminat dan dalam masa sama sudah lama tidak berjumpa anggota Senario yang lain.
"Memang pada awalnya dia tidak mahu ditidurkan, tetapi selepas dipujuk dan dijelaskan keadaannya, ayah akur.
"Ayah juga sempat membuat panggilan video bersama keluarga dan anggota Senario sebelum ditidurkan," jelasnya.
Natasya berkata, setakat ini doktor memaklumkan akan membuat ultra sound bagi mengesan punca jangkitan dan jenis kuman yang menyerang bapanya.
"Semalam selepas ditidurkan doktor maklum keadaan ayah stabil, tetapi jam 4 pagi tadi, pihak hospital telefon memaklumkan keadaan ayah tidak stabil.
"Setakat 12 tengah hari tadi (Isnin), keadaan ayah masih sama.
"Jadi saya harap peminat dan orang ramai boleh doakan ayah agar dia kembali sembuh," ujarnya yang kini berada di Johor Bahru bersama ibu dan abangnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!