Banjir tiga negeri semakin pulih, 114 mangsa masih berlindung di 5 PPS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di tiga negeri semakin pulih dengan hanya 114 mangsa masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang ini berbanding 1,122 orang di 13 PPS, tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 26 orang dan berlindung di satu PPS iaitu di Pasir Mas berbanding 1,034 orang yang berada di sembilan PPS tengah hari tadi.

Di Pahang, bilangan mangsa banjir kekal 34 orang yang berlindung di dua PPS di Maran, manakala satu PPS yang menempatkan 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands telah ditutup.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula tidak berubah dengan 54 orang masih berada di dua PPS di Segamat setakat jam 4 petang.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya meliputi Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan yang merekodkan 9.28 meter (m) dengan trend menurun dan Sungai Arau di Arau, Perlis (23.57m dengan trend menurun).

Laporan itu juga menyatakan terdapat 27 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya termasuk Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik, Hulu Perak di Perak; dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!