Jalan Jeli-Kuala Balah runtuh, 2,000 penduduk terputus hubungan
JELI - Lebih 2,000 penduduk terputus hubungan selepas Jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk di sini runtuh pada Isnin.
Runtuhan itu dipercayai berlaku sekitar jam 4 petang yang menyaksikan laluan itu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Seorang pengguna, Nadia Natasha Ibrahim, 33, berkata, kejadian itu diketahuinya semasa melalui jalan tersebut untuk pulang ke rumah di Kampung Bukit Jering.
"Situasi itu menyebabkan saya tidak dapat pulang ke rumah selepas menjadi sukarelawan banjir di Kampung Dalam Reka, Lubok Bongor.
"Jadi saya membuat keputusan untuk pulang ke rumah melalui Kuala Krai walaupun jaraknya lebih jauh dan mengambil masa hampir dua jam," katanya.
Menurutnya, tindakan itu terpaksa diambil bagi membolehkannya bekerja pada Selasa.
Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan laluan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Selain itu, papan tanda amaran turut dipasang bagi mengelakkan orang ramai menggunakan laluan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!