JSJ 'gegar' 70 pusat hiburan di seluruh negara
KUALA LUMPUR - Sebanyak 70 pusat hiburan di seluruh negara diserbu dalam Op Noda Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman awal pagi Isnin.
Serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Bahagian D7 Kontinjen dan Bahagian D7 Daerah di seluruh negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi besar-besaran itu bermula jam 1 pagi hingga 6 pagi Isnin.
Beliau berkata, seramai 4,568 pengunjung diperiksa dalam serbuan tersebut, manakala tangkapan seramai 104 warga tempatan serta 373 warga asing dibuat kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.
Kata beliau, sejumlah 358 pegawai dan 1,425 anggota JSJ dari seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak terbabit dalam semua serbuan tersebut.
"Serbuan dijalankan ke atas 15 pusat hiburan di Johor, Selangor (12), Kuala Lumpur (9), Pahang (8) dan Pulau Pinang (7), manakala tiga masing-masing di Melaka, Sabah dan Sarawak.
"Selain itu, dua serbuan masing-masing dilakukan di Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, manakala satu serbuan di Perlis.
"Di peringkat D7 Bukit Aman, sebanyak empat serbuan dilaksanakan awal pagi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan semasa serbuan adalah premis beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah, menggajikan gadis pelayan atau GRO warga asing tanpa permit, positif dadah setelah saringan ujian air kencing dijalankan dan tiada dokumen pengenalan yang sah.
Tambahnya, dalam operasi tersebut, pihak polis menahan 270 wanita warga asing berasal dari Vietnam, Thailand, Bangladesh, China, Myanmar, Laos, Indonesia dan Filipina serta 103 lelaki warga asing.
Selain itu menurutnya, pihak polis turut merampas wang tunai RM20,912, pembesar suara sebanyak 47 buah, amplifier 20, mikrofon (52), minuman keras (102 botol), dek DJ (12), decoder mikrofon dan resit (154 keping).
Fadil berkata, Ops Noda Khas yang dijalankan itu diharap dapat memberi impak kepada masyarakat, selain membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJ menangani masalah sosial.
Tegasnya, PDRM memandang serius mengenai elemen pusat hiburan yang menyalahi undang-undang dan masih beroperasi di seluruh negeri.
"JSJ turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai mengenai sebarang kesalahan jenayah, aktiviti tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah membabitkan mana-mana premis hiburan di negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!