Skuad terjah KPDN dapat pujian netizen
TINDAKAN terjah dibuat secara ‘live’ di media sosial TikTok oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dilihat memberikan impak positif apabila bekalan minyak masak peket dan gula di negeri itu kembali pulih.
Strategi tersebut dipercayai telah menimbulkan rasa takut kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk meneruskan modus operandi mereka menyorokkan bahan-bahan kawalan berkenaan.
Langkah dibuat KPDN Melaka ini juga mendapat pujian netizen yang dapat melihat situasi sebenar penguatkuasaan dilakukan, malah ada yang turut meminta agar agensi lain mengikuti jejak langkah sama.
Bermula dengan risikan, penyamaran dan disusuli dengan pemeriksaan berjaya membongkarkan sikap pekerja dan pemilik kedai runcit yang tamak dengan hanya menjual barangan kawalan kepada pihak tertentu seperti restoran makanan.
Usaha dan terjah seperti ini sememangnya dinantikan agar hak pengguna terus diperjuangkan dan tidak dinafikan hak mereka.
Meskipun penguat kuasa berdepan dengan ugutan dan sebagainya, namun semua itu tidak melemahkan semangat mereka untuk memburu si tamak haloba hingga ke pelosok kampung.
Tak kira kedai peniaga tempatan atau warga asing semuanya diterjah bagi memastikan barangan kawalan sampai ke tangan rakyat yang benar-benar memerlukan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa.
Sejak tahun lalu juga, beberapa negeri berdepan dengan isu bekalan minyak masak peket dan gula yang didakwa pengguna tidak mencukupi di pasaran, termasuk di Melaka.
Bagaimanapun, selepas beberapa siri serbuan secara langsung dibuat KPDN Melaka, kini rata-rata kedai runcit dan pasar raya di negeri itu telah mempunyai bekalan untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
Baru-baru ini agensi itu berjaya merampas 500 kilogram minyak masak dan gula yang disorokkan oleh sebuah restoran mamak di Alor Gajah.
Hasil maklumat disalurkan oleh pengikut di media sosial rasmi agensi itu termasuk TikTok, berjaya membongkarkan kegiatan melonggokkan bekalan minyak masak dan gula di premis.
Malah jumlah rampasan iaitu 300 kilogram gula dan lebih 250 kilogram minyak masak peket itu mampu menampung keperluan 133 isi rumah di Melaka.
Situasi ini sekali gus menunjukkan bahawa usaha pengawalan itu bukan sahaja terletak pada bahu agensi penguat kuasa semata-mata tetapi melibatkan semua peringkat termasuk pengguna.
Pengguna perlu membuang sikap 'malas' untuk membuat aduan kerana dengan hanya satu aduan mampu menyelamatkan beberapa tan barang kawalan sekali gus aduan dan suara mereka dipeduli.
Jadi aktiviti sorok bekalan dapat diatasi malah aktiviti menjual barang kawalan hanya kepada kenalan atau saudara terdekat juga dapat dipatahkan.
Tidak adil apabila tiada ketelusan dalam kalangan penjual bila mana yang dikenali mendapat bekalan lebih daripada kuantiti yang dibenarkan, manakala pengguna biasa hanya pulang dengan kehampaan.
Semua ini gara-gara ketidakjujuran dalam urusan jual beli dan dengan adanya 'skuad terjah' seperti ini sudah pasti mereka yang melakukan kesalahan akan lebih berhati-hati dan berhenti manipulasi.
Kerana bimbang kantoi dengan geng penyamaran KPDN yang tidak akan bertoleransi kerana amaran dan peringatan sentiasa diberikan.
Maka yang masih melakukan berwaspada, kerana anda mungkin dalam radar pemerhatian KPDN silap hari bulan ditarik lesen.
KPDN di setiap negeri juga disarankan lebih agresif dan mencontohi apa yang dilakukan KPDN Melaka, kerana sekurang-kurangnya dapat uar-uarkan dalam media sosial mengenai tindakan yang telah diambil ke atas peniaga supaya pengguna tahu.
Oleh itu orang ramai wajar menggunakan hak mereka sebagai pengguna bagi memastikan penipuan, penyelewengan dan penindasan yang dilakukan peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya.
* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!